suria

MAHA edisi ke-100 dijangka lebih meriah, banyak aktiviti menarik sepanjang 12 hari penganjuran

Mohamad (hadapan, tiga dari kanan) mengadakan lawatan sempena 100 Tahun penganjuran MAHA di MAEPS.

EDISI ke-100 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2024), yang akan bermula pada Rabu, bakal menjadi platform penerokaan kemajuan dan inovasi terkini dalam sektor pertanian, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, acara gemilang itu bakal menampilkan penyelesaian berteknologi tinggi dan pendekatan mampan serta berdaya tahan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Meraikan 100 tahun penganjurannya, MAHA 2024 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) tampil menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara MAHA 2024 dijangka menerima kehadiran seramai tiga juta pengunjung.

Beliau berkata, acara itu akan menumpukan kepada lapan bidang utama.

Laman perikanan juga antara segmen tarikan.

Laman perikanan merupakan antara segmen tarikan pada MAHA 2024.

“Dengan sejarah yang bermula sejak 1923, MAHA 2024 mencerminkan aspirasi dan matlamat kementerian untuk mencapai kejayaan dalam menghadapi cabaran inovasi dan inisiatif yang disasarkan,” kata beliau dalam pra pertunjukan kepada media di tapak acara di MAEPS, Isnin.

Acara yang berlangsung selama 12 hari itu mensasarkan perjanjian bernilai RM6 bilion melalui memorandum persefahaman dan persetujuan serta jualan bernilai RM40 juta.

Kementerian juga menyasarkan 4,000 permohonan geran dan padanan perniagaan bernilai sehingga RM600 juta.

“MAHA 2024, yang berlangsung sehingga 22 September, mencipta sejarah sebagai pameran pertanian terulung dan tertua di Asia Tenggara yang melepasi usia satu abad.

“Saya berharap pengunjung yang hadir dapat terus memeriahkan MAHA hingga ke malam,” tambahnya.

Laman Padi antara tarikan MAHA 2024.Foto: Samuel Ong

Laman Padi menampilkan kelainan buat para pengunjung.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk berbincang dengan Prasarana Malaysia Bhd, pengendali perkhidmatan kereta api dan bas di Lembah Klang, supaya perkhidmatan MRT dilanjutkan sehingga larut malam.

“Kami yakin kehadiran pengunjung akan meningkat ditambah dengan tarikan lain seperti pertunjukan cahaya, pameran air dan konsert oleh selebriti tempatan pada waktu malam,” katanya.

Turut hadir pada prapertunjukan media, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali.

Kanak-kanak juga sesuai dibawa berkunjung dengan adanya pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, pertunjukan silap mata, program berasaskan kecergasan dan peluang untuk merasai pengalaman di sawah padi.

Bagi memenuhi kehendak individu yang gemarkan kelainan, terdapat juga pameran glamping dan rumah bergerak.

MAHA 2024 diperlukan untuk menjadikannya acara bertaraf dunia dengan penglibatan pelbagai negara melalui segmen MAHA Go Global juga mekanisme merangsang pertumbuhan sektor pertanian, meningkatkan eksport dan memacu inovasi.

Melalui MAHA Go Global, kementerian telah mempromosikan acara berkenaan kepada negara luar untuk mempamerkan teknologi pertanian, memberi inspirasi kepada inovasi tempatan dan meneroka potensi pelaburan dalam sektor agromakanan negara melalui padanan perniagaan.

Terdapat juga pertemuan perniagaan eksklusif pada tiga hari pertama (11-13 September) di Dewan C, MAEPS untuk jaringan profesional dan penandatanganan perjanjian.

Aneka reruai bakal menjual sajian enak.

Pelbagai reruai bakal menjual sajian yang enak.

Sebanyak 16 negara telah mengesahkan penyertaan termasuk Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong dan beberapa negara Eropah.

MAHA 2024 tidak hanya memberi tumpuan kepada pertanian, tetapi juga kepada penternak haiwan serta industri perikanan dan akuakultur.

Selain itu, 13 pavilion dari setiap negeri akan mempamerkan keunikan masing-masing dalam bidang seni, budaya, tarikan pelancong dan masakan yang semuanya diselaraskan untuk menyokong 48 segmen.

Kesemua segmen itu meliputi keseluruhan ekosistem rantaian nilai agro-makanan dari konvensional hingga luar biasa dengan tujuan menarik bakat baru ke dalam industri ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain