suria

Keluarga Abang Bas buka tabung derma ‘atas dasar perikemanusiaan’, nak cari RM30,000 bayar ikat jamin

Abang Bas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan.

KELUARGA kepada pemandu bas yang didakwa atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan membuka tabung kutipan derma bagi memohon sumbangan orang ramai untuk membayar wang jaminan yang ditetapkan mahkamah sebanyak RM30,000.

Hebahan mengenai tabung derma tersebut dimuat naik di akaun Facebook kakak kepada lelaki yang digelar 'Abang Bas', iaitu Zarinah Sari, pada Rabu.

"Assalamualaikum saudara Islam yang banyak memberi support dan respons positif pada Abang Bas dan family. Syukur ke hadrat Ilahi masih ada yang sayang.

"Sekali lagi kami merendah diri membuka tabung seikhlas hati atas dasar perikemanusiaan dan keharmonian, daripada mata dan sisi Allah yang tidak pernah tidur untuk diri ini mendapatkan keyakinan," tulis Zarinah dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Tabung tersebut dibuka menggunakan akaun AmBank milik Zarinah dan wanita itu turut memuat naik nombor akaun beserta kod QR bersama hantaran berkenaan.

Yakin adiknya tidak bersalah, wanita berkenaan turut menitipkan doa buat lelaki tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bas cium pipi, ‘crush’ budak sekolah mengaku tidak bersalah... Menangis ketika rayuan ikat jamin

"Ya Allah, Engkau berikan kekuatan kepada Abang Bas, semoga dia berjaya menghadapi segala ujian dari-Mu. Saat dia benar-benar down, jentikkan hati dia untuk sentiasa dekat dengan-Mu, bertasbih dan berzikir mengingati-Mu.

"Gugurkan dosa-dosanya seperti mana Engkau gugurkan air mata jantan seorang lelaki yang bergelar ayah, dan mengangkat setinggi-tingginya doa wanita mulia yang bergelar ibu," tulisnya.

Wanita berkenaan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga maya yang memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada keluarganya.

"Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih kepada semua. Semoga Allah membalas kebaikan kalian berlipat kali gandanya. Itu saja yang kami mampu hadiahkan segala pengorbanan kalian," tulisnya lagi.

Pada Selasa, Mahkamah Sesyen Muar membenarkan 'Abang Bas' yang didakwa atas dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan, diikat jamin sebanyak RM30,000.

Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.

Hakim kemudian menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

mStar sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kandungan yang dimuat naik pemandu bas berkenaan di laman sosial.

Ini termasuk kapsyen seperti 'hari ini crush kita buat homework' yang digunakan pemandu bas sekolah tersebut, dianggap tidak bersesuaian untuk ditujukan kepada murid sekolah rendah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain