HASIL siasatan yang dilakukan pihak polis mendapati seramai 13 penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dipercayai menjadi mangsa liwat. Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan menerusi Op Global. "Laporan polis yang diterima di Negeri Sembilan dan Selangor, terdapat empat mangsa mendakwa diliwat. "Menerusi fasa kedua siasatan, kita menemu bual mangsa dan mendapati sembilan lagi dipercayai menjadi mangsa liwat," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: GISB dakwa sebagai organisasi Islam tidak wujud kegiatan ‘liwat-meliwat’, polis belum panggil pengurusan tertinggi syarikat Dalam masa yang sama, Razarudin turut menafikan dakwaan bahawa pihak polis lewat mengambil tindakan ke atas sebarang laporan berkaitan GISBH, sebaliknya tegas beliau, tindakan dibuat selepas terdapat petunjuk kukuh. mStar pada Khamis melaporkan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISB, Mokhtar Tajuddin menafikan dakwaan yang mengaitkan sebarang aktiviti tidak bermoral melibatkan rumah amal kendalian syarikat organisasi Islam itu. Terdahulu sebelum itu, media melaporkan 20 premis pusat jagaan dan rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB diserbu polis. Dalam serbuan Op Global itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis terbabit untuk siasatan lanjut. Menurut laporan polis, hasil siasatan mendapati antara kegiatan yang dilakukan di 20 premis berkenaan adalah mangsa diajar melakukan perbuatan meliwat yang turut melibatkan kanak-kanak. Selain itu, menurut polis, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, pihak mereka mengesyaki GISB melakukan kesalahan apabila terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan-kesalahan lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube