SERBUAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 20 premis yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) pada Rabu mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Apatah lagi apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan terdapat kegiatan berunsur seksual di premis rumah amal kendalian GISB, sekali gus menghangatkan kontroversi syarikat itu. Mengulas mengenai isu berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISB, Mokhtar Tajuddin dengan tegas menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikat terbabit. "Itu (liwat) memang tidak benar sama sekali. Kita organisasi Islam, takkan ada perbuatan sedemikian (seksual)," ujarnya ketika dihubungi mStar pada Khamis. Mokhtar dalam masa yang sama turut menafikan syarikat terbabit melakukan pengabaian dan penganiayaan terhadap penghuni di rumah amal yang terbabit dengan serbuan polis. Serbuan di salah sebuah daripada 20 premis yang dikaitkan dengan GISB. -Foto PDRM "Ada isu yang tidak jelas di sini, sama ada premis yang diserbu itu di bawah kendalian GISB atau tidak? "Ini kerana ada antara premis yang diserbu itu ialah premis perniagaan... tapi ia hanya di bawah bimbingan GISB. "GISB amat mengambil berat mengenai kebajikan kakitangannya. Suntikan vaksin pun kita beri," tambahnya. Mengulas lanjut, Mokhtar bagaimanapun berkata pihak syarikatnya kini sedang mendapatkan khidmat guaman susulan terpalit dengan dakwaan kontroversi berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Diajar meliwat dan diliwat! 402 kanak-kanak dan remaja di rumah amal GISB dieksploitasi "Memandangkan dah masuk peringkat siasatan, kami sedang dapatkan khidmat guaman. "Buat masa ini, pihak polis masih belum approach atau panggil mana-mana pengurusan tertinggi syarikat. Namun kami pastinya akan memberikan kerjasama kepada polis. "Sememangnya apa yang berlaku memberi impak. Kami akan usahakan untuk mengadakan sidang media yang komprehensif dalam masa terdekat untuk menjawab dakwaan-dakwaan ini. Kita takkan berdiam diri," ujarnya lagi. Kita organisasi Islam, takkan ada perbuatan sedemikian (seksual). MOKHTAR TAJUDDIN TIMBALAN KETUA PENGARAH PENTADBIRAN GISB Pada Rabu, media melaporkan 20 premis pusat jagaan dan rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB diserbu polis. Dalam serbuan Op Global itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis terbabit untuk siasatan lanjut. Menurut laporan polis, hasil siasatan mendapati antara kegiatan yang dilakukan di 20 premis berkenaan adalah mangsa diajar melakukan perbuatan meliwat yang turut melibatkan kanak-kanak. Seramai 171 individu yang mengendalikan premis terbabit ditahan untuk siasatan lanjut. -Foto PDRM Selain itu, menurut polis, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, pihak mereka mengesyaki GISB melakukan kesalahan apabila terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan-kesalahan lain. Sehubungan itu, empat kertas siasatan dibuka di Negeri Sembilan dan empat lagi di Selangor di bawah seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001; Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 serta 14 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migram 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Sementara itu empat kertas siasatan yang dibuka di Negeri Sembilan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara, dengan satu daripada kertas siasatan berkenaan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube