suria

Wanita putih mata wang simpanan lebih RM200,000 lesap

Seorang wanita kerugian lebih RM200,000 akibat penipuan 'phone scam'. -Gambar hiasan

SEORANG wanita berusia 64 berputih mata apabila wang simpanannya lebih RM200,000 lesap selepas terpedaya dengan penipuan 'phone scam'.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita mengenai perkara itu pada pukul 1.31 tengah hari Rabu.

"Pada Julai 2023, mangsa menerima satu panggilan daripada individu tidak dikenali, mendakwa dirinya adalah pegawai dari Kementerian Komunikasi, yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah siber.

"Mangsa menafikan dakwaannya. Wanita itu kemudian menerima panggilan daripada dua individu lain yang mendakwa mereka sebagai pegawai polis," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Balveer Singh berkata, kedua-dua 'scammer' berkenaan mendakwa mereka sebagai inspektor dan memaklumkan kepada mangsa bahawa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

"Dia diminta untuk memberikan butiran akaun bank, sebagai sebahagian daripada siasatan," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya memberikan maklumat berkenaan akaun bank miliknya dan termasuk nombor OTP (one time password)

Ketika memeriksa akaun banknya pada 6 September lalu, mangsa mendapati terdapat 12 transaksi melibatkan sejumlah RM209,600 dibuat antara 14 September dan 14 November tahun lalu.

"Transaksi itu dibuat kepada enam akaun bank berbeza," kata Balveer Singh sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain