PEMANDU bas yang ditahan kerana memuat naik video dirinya bersama murid sekolah rendah sebagai 'crush' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Batu Pahat, pada Khamis. Tertuduh berusia 24 tahun yang memakai baju berwarna hitam tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi bagi pertuduhan memuat naik komen jelik berhubung video seorang kanak-kanak perempuan. Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Salleh. ARTIKEL BERKAITAN: Abang bas cium pipi, ‘crush’ budak sekolah mengaku tidak bersalah... Menangis ketika rayuan ikat jamin Tertuduh didakwa menggunakan platform TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 malam 5 September lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) dan Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas yang disabitkan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurizzati Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain. Pada Selasa lalu, Abang Bas didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama. Abang Bas mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Pemandu bas itu mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, memuat naik beberapa vidoe yang jelas menunjukkan wajah pelajar yang menaiki kenderaan itu. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube