suria

Pesara kerajaan kerugian lebih RM1 juta, terpedaya sindiket Macau Scam

Polis sentiasa bertindak atas maklumat awam. -Gambar hiasan

SEORANG pesara kerajaan di Taiping, Perak kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa Macau scam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata wanita berusia 67 tahun itu ditipu individu yang mendakwa dirinya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis.

Jelas beliau, mangsa pada 8 Ogos menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan kad banknya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi yang dikenali sebagai Sarjan Tan Keng Seng yang dikatakan sedang menyiasat perkara itu.

“Mangsa kemudian dihubungi oleh beberapa individu lain yang mendakwa daripada polis kontinjen Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan itu, ujar beliau, mangsa diarahkan untuk meletakkan kad mesin juruwang automatik (ATM) bank miliknya di dalam sampul sebelum meninggalkannya di alamat yang diberikan oleh mereka.

“Mangsa kemudiannya menerima mesej daripada banknya yang menunjukkan wang telah dikeluarkan dari 16 hingga 23 Ogos ke dalam dua akaun bank berasingan," katanya sambil menambah bahawa pengeluaran juga dibuat daripada ATM.

Tambah Azizi, sebanyak RM476,550 telah dikeluarkan daripada akaun banknya melalui 75 transaksi pengeluaran.

“Mangsa dihubungi sekali lagi oleh sindiket terbabit untuk memindahkan wangnya ke akaun bank lain bagi tujuan 'siasat' dan mengelakkannya daripada dibekukan.

“Mala mereka berjanji akan memulangkan wang itu kepadanya sebaik sahaja siasatan selesai.

“Disebabkan terpedaya, dia turut melakukan transaksi melibatkan RM590,000 daripada akaun banknya ke dalam sembilan akaun bank berbeza lebih 24 kali.

"Setelah menyemak penyata banknya, dia mendapati dia telah kerugian lebih RM1 juta, dan menyedari ditipu," katanya sambil menambah bahawa laporan telah dibuat pada Selasa.

Azizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain