TIGA individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan bekas pelumba GP Malaysia Elly Idzlianizar Elias pada Selasa malam. Mangsa yang berusia 40 tahun ditikam dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah di Perlis pada Rabu. Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia 28 hingga 51 tahun itu ditahan di Perlis pada Rabu dan polis turut merampas sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter panjang. “Polis turut merampas sebuah kereta berwarna biru yang cermin depannya retak dan kelihatan tompokan merah dipercayai darah. “Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah seperti cubaan membunuh, ugutan, membakar, merusuh menggunakan senjata, curi kenderaan, perjudian dan kesalahan dadah,” katanya pada sidang media pada Khamis. Menurut Yusharifuddin, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan yang berlaku di Taman Behor Gonchar Jaya pada 11.13 malam Selasa dan butiran terperinci menunjukkan bekas pelumba negara itu cedera parah sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans. "Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira tengah malam. Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar, Kedah) mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan teruk akibat 12 tikaman," katanya. Tambahnya, ketiga-tiga suspek dipercayai kenalan mangsa dan kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham sehingga berakhir dengan pergaduhan. “Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (untuk membunuh),” katanya. Elly Idzlianizar mencipta namanya dalam kancah perlumbaan Cub Prix tempatan dan turut terpilih menyertai program pelumba wildcard kebangsaan untuk Grand Prix Malaysia pada 2009. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube