suria

Budak perempuan nyaris dilarikan ketika tunggu van sekolah, mangsa menjerit sebelum diselamatkan orang awam

Penculikan adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun nyaris menjadi mangsa culik di Bukit Beruntung, di Hulu Selangor, Selangor.

Bagaimanapun, tindakan menjerit yang dilakukan berjaya menyelamatkan dirinya daripada dilarikan individu tidak dikenali pada 13 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa sekitar pukul 8.56 malam.

Katanya, pengadu memaklumkan anaknya ketika itu sedang menunggu van sekolah di bawah blok rumahnya sebelum didatangi dan cuba dilarikan seorang individu.

“Hasil siasatan mendapati, suspek merupakan warga tempatan yang dipercayai bertindak melarikan kanak-kanak tersebut namun gagal apabila kanak-kanak tersebut berjaya menyelamatkan diri dan menjerit meminta tolong.

“Saksi awam di tempat kejadian telah berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kata Asri, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka terhadap anak-anak dan tidak membiarkan mereka tinggal sendirian di luar rumah.

“Sebarang maklumat boleh terus hubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain