SIJIL halal produk Roti Sandwich Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tamat sejak tujuh tahun lalu dan masih belum diperbaharui sehingga ke hari ini. Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Facebook GISBH Khidmat Utara pada Ahad. Menurut kenyataan itu, sijil halal produk berkenaan tidak diperbaharui ekoran perpindahan lokasi kilang mereka sebelum ini. "Gambar yang ditularkan di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (Pukas) adalah gambar lama, di mana roti tersebut dibuat di kilang roti yang lama. "Tarikh persijilan halal telah tamat pada 31 Mei 2017 dan tidak diperbaharui kerana perpindahan lokasi kilang. ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan 13 kanak-kanak diliwat, pemimpin GISB mungkin dipanggil beri keterangan "Pihak kilang roti berkenaan sekarang menggunakan plastik pembungkus dengan label yang baharu setelah operasi berjalan di kilang yang baharu dan sedang dalam proses untuk persijilan halal," ujar kenyataan itu. Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan produk keluaran Global Ikhwan Utara itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Dalam kenyataan pada Ahad, Jakim berkata perkara itu melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. "Jakim mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk jenama Roti Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara yang sedang tular ketika ini," ujarnya. Susulan itu, Jakim turut berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk tindakan selanjutnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube