KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedia cakna mengenai isu keciciran pembelajaran anak-anak di peringkat akar umbi yang membimbangkan ibu bapa. Antara masalah yang dilihat perlu ditangani segera adalah aras kurikulum yang tinggi serta kurang sesuai dengan usia murid sehingga menyebabkan mereka keciciran dalam pembelajaran. Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata sebagai langkah proaktif, program Intervensi Kurikulum diperkenalkan bagi membantu murid yang terkebelakang untuk menguasai asas kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Seramai 122,062 murid Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2024/2025 sudah dikenal pasti sebagai lemah penguasaan subjek bahasa atau matematik, justeru itu mereka kini dimasukkan ke dalam program Intervensi Literasi dan Numerasi yang mula dijalankan sejak Ogos 2024. “Kita menerima aduan ibu bapa memaklumkan aras kurikulum di sekolah agak tinggi menyebabkan murid sukar untuk memahami kandungan mata pelajaran, khususnya murid Tahun Satu di sekolah rendah. “Sehubungan itu, seawal Mac 2024, KPM sudah mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu ini dengan menggerakkan program Intervensi Kurikulum,” katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya pada Isnin. Pertama sekali, Azman berkata kurikulum murid Tahun Satu disusun semula melibatkan empat mata pelajaran iaitu Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. “Keduanya, kami membuat pengesanan awal kira-kira tiga bulan selepas sesi persekolahan bermula untuk menyaring murid Tahun Satu yang diperlukan menjalani program Intervensi Literasi dan Numerasi. “Ketiganya, kami menambah baik pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) supaya lebih mesra ibu bapa dan boleh diakses secara dalam talian, manakala laporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik akan ditukar daripada bentuk peratus ke gred untuk memudahkan pentaksiran yang dibuat secara sumatif difahami masyarakat,” ujar beliau. Tambah Azman, latihan akan turut diberikan kepada guru-guru supaya program Intervensi Kurikulum dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. “Kini guru berupaya menjalankan penjajaran kurikulum menerusi pelbagai medium seperti webinar, taklimat dan bengkel,” katanya. Azman memberikan penjelasan pada sidang media khas mengenai Intervensi Kurikulum. Pasukan Petugas Khas Menurut Azman, satu Pasukan Petugas Khas atau Task Force dibentuk untuk mengemudi perjalanan Intervensi Kurikulum dan ia diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr Ahmad Rafee Che Kassim. “Task Force ini dianjurkan oleh semua bahagian yang terlibat di KPM serta dianggotai bersama oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan. Menerusi Pasukan Petugas Khas Intervensi Kurikulum ini, kami berharap untuk merangka kurikulum baharu yang akan dilaksanakan pada 2027. “Task Force ini akan memastikan Intervensi Kurikulum dapat dijalankan secara berterusan untuk semua murid di peringkat sekolah rendah dan menengah. “Keduanya kita mahu menetapkan aktiviti utama dan aktiviti sokongan yang boleh dilaksanakan di semua peringkat sekali gus membantu guru-guru memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), memberikan peluang kepada murid untuk terlibat sama dalam semua aktiviti sokongan serta mempelajari mata pelajaran dan topik berdasarkan kurikulum sedia ada. “Ketiganya Task Force ini akan membuat pemantauan rapi secara berkala ke atas pelaksanaan Intervensi Kurikulum supaya dapat memberikan impak yang dikehendaki kepada murid-murid,” terang Azman. STATUS PELAKSANAAN Inisiatif 1: Susunan semula kurikulum Azman berkata, terdapat empat dokumen penjajaran Tahap 1 untuk subjek Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sudah berjaya dilaksanakan. Malah kata beliau, dokumen penjajaran itu juga diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Cina dan Tamil untuk memenuhi keperluan anak-anak di sekolah rendah yang mengikuti pembelajaran secara Dual Language Programme (DLP). “Berdasarkan pengemaskinian standard pembelajaran dan standard kandungan bagi topik tertentu dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, kita dapat mengurangkan kepadatan subjek ini sehingga 50 peratus. “Ini memudahkan guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), seterusnya anak-anak kita lebih senang untuk memahami apa yang dipelajari. “Kita juga melaksanakan PdP dengan menggunakan bahan sokongan yang disediakan iaitu Modul Bimbingan (MOBIM) untuk empat mata pelajaran tersebut,” jelasnya. Pendidikan berkualiti penting untuk melahirkan belia negara yang intelektual dan berdaya saing. Inisiatif 2: Pengesanan awal literasi dan numerasi Seterusnya kata Azman, Intervensi Literasi dan Numerasi akan dijalankan selama tiga bulan ke atas murid yang tahap penguasaan untuk subjek Bahasa Melayu atau Matematik masih kurang memuaskan. Pengesanan dilaksanakan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) supaya intervensi awal yang sesuai dapat dilakukan. “Pada Julai 2024 lalu, selepas tiga bulan PdP berjalan, guru-guru menarik keluar murid Tahun Satu yang terpilih berdasarkan keputusan ujian saringan untuk diberikan Intervensi, ini bagi memastikan mereka mampu menguasai tahap minimum dalam literasi dan numerasi. “Melihat statistik, daripada keseluruhan 448,113 murid untuk kohort Tahun Satu, setelah kita saring melalui penilaian dan pentaksiran, anak-anak kita yang memperoleh tahap penguasaan sekurang-kurangnya 1 adalah seramai 122,062 murid,” katanya. Tambah beliau, daripada jumlah itu dibahagikan pula kepada tiga kategori berdasarkan tahap penguasaan minimum yang dapat dikesan. “Murid Tahun Satu yang belum menguasai kedua-dua literasi dan numerasi adalah seramai 62,928 orang, belum menguasai literasi sahaja (45,465) dan belum menguasai numerasi sahaja (13,669). “Jadi ketiga-tiga kelompok murid ini akan dimasukkan ke dalam bilik darjah berbeza untuk diberikan program Intervensi iaitu bahan bacaan dan modul pengajaran yang bersesuaian berdasarkan tahap penguasaan minimum mereka peroleh,” jelas Azman. Setelah tiga bulan menjalani program Intervensi, murid yang berjaya menguasai akan dimasukkan semula ke arus perdana iaitu bilik darjah masing-masing, manakala yang masih belum menguasai akan terus diberikan Intervensi sehingga mereka mencapai tahap penguasaan lebih daripada minimum. Murid diberi bimbingan untuk menguasai literasi dan numerasi. Inisiatif 3: Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Dalam pada itu, KPM sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya untuk menambah baik Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Jelas Azman, PBD sudah ditambah baik dan deskriptor bagi setiap tahap penguasaan 1 hingga 6 dipermudahkan iaitu menggunakan ayat yang senang difahami juga sudah dilaksanakan. “Keduanya, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sudah kita ubah kepada kaedah peratus dan gred, jadi keputusan UASA ini akan dapat diperoleh nanti pada November. “Sistem bersepadu juga sudah ditambah baik, kini ibu bapa boleh mengakses keputusan secara dalam talian melalui platform yang disediakan KPM,” kata Azman. Inisiatif 4: Latihan untuk guru Latihan untuk guru ini melibatkan mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada Tahap 1. Menurut Azman, penataran kepada semua guru yang terlibat sudah pun dilaksanakan melalui pelbagai kaedah antaranya webinar, taklimat dan bengkel di semua peringkat sama ada di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan KPM. “Sesi webinar ini kita laksanakan secara bersiri seawal bulan Mac tempoh hari dan dihadiri seramai 56,873 guru,” jelas beliau. Azman berharap pelaksanaan Intervensi Kurikulum dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan negara. Harapan buat Intervensi Kurikulum Secara kesimpulannya, Azman memaklumkan bahawa Intervensi Kurikulum adalah selari dengan proses Reformasi Pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM pada masa ini. Menurut beliau, KPM sedang menjalankan pelbagai program sokongan untuk memastikan murid-murid sama ada di sekolah rendah atau menengah diberikan perhatian serta pengukuhan supaya mereka dapat memperoleh ilmu sebagaimana yang dihasratkan dalam kurikulum. “Jadi KPM sesungguhnya komited untuk memastikan Intervensi Kurikulum yang sedang kita laksanakan ini dapat memberikan impak yang positif kepada pengalaman pembelajaran anak-anak serta kualiti pendidikan negara secara keseluruhannya,” ujarnya. Beliau turut berharap agar kurikulum yang disusun itu dapat memenuhi keperluan guru dan gaya pembelajaran murid melalui penyediaan bahan-bahan pembelajaran yang relevan. “Saya mengharapkan sokongan daripada semua peringkat khususnya guru-guru, ibu bapa, masyarakat serta pihak yang berkepentingan untuk memastikan inisiatif kurikulum yang sedang dirancang ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. “Kami sentiasa terbuka untuk menerima segala pandangan, idea dan saranan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kurikulum buat anak-anak kita di seluruh negara,” kata Azman menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube