suria

Kejam! Pereka dalaman maut ditikam 20 kali, jiran dengar pergaduhan dari rumah mangsa

Proses bedah siasat dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian seseorang. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki ditemui mati dengan 20 kesan tikaman pada tubuh badannya di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, awal pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam yang juga jiran mangsa pada jam 1 pagi.

Ujarnya, jiran mangsa terdahulu mendengar suara pergaduhan antara mangsa dan seorang individu, kira-kira jam 11 malam.

"Pengadu memaklumkan tidak melihat jirannya itu keluar dari rumah selepas pergaduhan dan bertindak menghubungi pihak polis.

"Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ke lokasi dan hasil pemeriksaan menemui mangsa sudah meninggal dunia akibat ditikam dipercayai oleh individu yang belum dapat dikenal pasti," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Berang asyik kena marah, pemuda tikam ibu hingga maut

Shahrulnizam berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dan semakan mendapati mangsa bekerja sebagai pereka dalaman separuh masa tinggal berseorangan di rumah itu yang baru dibelinya pada tahun lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa maut akibat luka tikaman di rusuk kiri sebanyak lima kali, enam kesan tikaman di kepala serta sembilan tikaman di kedua-dua pergelangan tangan.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kita tidak menolak kemungkinan kes ini adalah pecah rumah hingga menyebabkan kematian. Barangan milik mangsa seperti beg duit, telefon bimbit disyaki telah dicuri," katanya sambil menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain