KEGEMBIRAAN sekumpulan peserta RX-Z Member 6.0 yang berhimpun selama dua hari di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Terengganu berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya terlibat dalam kemalangan maut semasa perjalanan pulang ke Pahang. Kemalangan ngeri berlaku apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lagi motosikal lalu terbabas di kilometer 379.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) (Ajil-Bukit Besi), petang Ahad. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kira-kira 2.30 petang, mangsa Ahmad Amir Muhamad, 29, menunggang motosikal Yamaha RX-Z dari Kuala Terengganu ke Temerloh. Menurutnya, kira-kira pukul 3 petang apabila tiba di tempat kejadian, mangsa memotong sebuah lori menggunakan lorong kecemasan. Bagaimanapun, ketika memotong motosikal mangsa bergesel dengan sebuah lagi motosikal Yamaha RX-Z yang berhenti di lorong kecemasan itu. "Mangsa terjatuh di atas jalan dan terseret masuk ke bahagian bawah treler. "Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube