suria

Ahli kumpulan GISB Holdings mengaku tidak bersalah ugut wanita

Tertuduh didakwa mengugut seorang wanita untuk menarik balik laporan polisn terhadap GISB Holdings Sdn Bhd.

SEORANG ahli perniagaan berusia 39 tahun yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd dibicarakan atas pertuduhan ugutan jenayah terhadap seorang wanita di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Tertuduh, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan pada Rabu.

Mohamad Riza didakwa mengugut seorang wanita berusia 25 tahun untuk menarik balik laporan polisnya terhadap GISB Holdings Sdn Bhd.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu berlaku di sebuah tempat letak kereta di Presint 4, Putrajaya kira-kira pukul 10 malam pada 9 September.

ARTIKEL BERKAITAN: Diajar meliwat dan diliwat! 402 kanak-kanak dan remaja di rumah amal GISB dieksploitasi

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan 13 kanak-kanak diliwat, pemimpin GISB mungkin dipanggil beri keterangan

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Afiq membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, meminta pasport antarabangsa Mohamad Riza diserahkan kepada mahkamah, dan memintanya melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam Zulfikri Ulul Azmin.

Pada 11 September lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan berumur antara satu hingga 17 tahun, dari rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat dengan nama kod Ops Global.

Pada 13 September, polis mendedahkan mereka sedang menyiasat dakwaan bahawa 13 daripada kanak-kanak yang diselamatkan itu diliwat.

Seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain