suria

Ibu bapa Zayn Rayyan bakal harungi 15 hari perbicaraan bermula Januari tahun depan... Pihak pendakwaan bawa 15 saksi

Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismarina didakwa atas pengabaian anak mereka. -Gambar file

PERBICARAAN kes pengabaian kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin akan berlangsung selama 15 hari bermula Januari tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh menetapkan perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf itu selama tiga minggu berturut-turut pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.

Dalam pada itu menerusi prosiding sebutan pada Rabu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dianiaya, ini semua fitnah”- Bapa Zayn Rayyan

ARTIKEL BERKAITAN: Klip pengebumian Zayn Rayyan kembali tular, netizen timbulkan persoalan selepas tengok bapa mangsa seluk keranda

Katanya lagi pihak pendakwaan sudah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen lanjutan iaitu tiga laporan forensik melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian, laporan daripada syarikat telekomunikasi dan laporan telefon bimbit.

Sementara itu, peguam Fahmi Abd Moin memaklumkan pihaknya akan menghantar representasi dalam tempoh terdekat agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak pertuduhan yang dikenakan terhadap kedua-dua anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember ini bagi perkembangan representasi tersebut.

Untuk rekod, pasangan suami isteri berkenaan didakwa atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak austisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan pada 28 Jun lalu, pasangan berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod Zayn Rayyan dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 5 Disember tahun lalu, sebelum mayatnya ditemukan di anak sungai berhampiran kawasan apartment berkenaan pada keesokan hari.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain