SEORANG pegawai kanan imigresen, dipercayai merupakan dalang di sebalik sindiket 'counter setting', antara 60 individu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 'Counter setting' merujuk kepada warga asing yang memasuki negara ini tanpa pemeriksaan dokumen lengkap dan prosedur yang ditetapkan, menggunakan modus operandi laluan kaunter khas. Suspek yang merupakan pegawai berusia 40an dan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dikenal pasti sebagai dalang utama yang membuka kepada sindiket yang melibatkan beberapa pegawai imigresen lain. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek ditahan pada 5 September lalu, disyaki sudah melarikan diri apabila operasi siasatan kes itu bermula. "Kita percaya dia telah mempengaruhi lebih 50 pegawai imigresen. Dia berkhidmat dalam jabatan itu selama kira-kira 20 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu. Azam berkata, dalang utama dan tiga lagi akan didakwa di mahkamah pada awal bulan depan. Setakat ini, katanya, seramai 60 individu ditahan dalam operasi Ops Pump, Ops Pump 2.0 dan Ops Setting yang bermula pada 20 Ogos lalu. "Mereka yang ditahan termasuk 46 pegawai imigresen, seorang anggota polis dan dua ejen. Kita telah buka 37 kertas siasatan dan merakamkan keterangan 95 individu," katanya lagi. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube