suria

Hadapi 14 tuduhan serangan seksual, tiga pembantu guru mengaku tidak bersalah... Keluarga mohon jumlah jaminan rendah

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

TIGA pembantu guru dan penjaga sebuah madrasah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan melakukan serangan seksual di Mahkamah Sesyen Seremban.

Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, dituduh melakukan perbuatan tersebut terhadap lima kanak-kanak berusia antara sembilan dan 11 tahun.

Pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Berdasarkan pendakwaan, Muhammad Habib Noh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala Muhammad Khunais menghadapi enam pertuduhan dan Ahmad Nadzful tiga.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja madrasah Kuala Pilah ditahan, hadapi 14 tuduhan liwat kanak-kanak

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan 13 kanak-kanak diliwat, pemimpin GISB mungkin dipanggil beri keterangan

Terdahulu, Muhammad Habib turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta sama, yang mana kedua-dua peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kesalahan itu didakwa dilakukan di madrasah antara 2022 dan 2023.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi menyatakan bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Tambahnya, jika ikat jamin dibenarkan, jumlah yang dicadangkan ialah RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Susulan itu, Nurul Balkis yang dibantu Noraziha Asmuni turut memohon sekiranya dibenarkan ikat jamin, tertuduh tidak boleh menghubungi mangsa atau saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga tertuduh meminta jumlah jaminan yang lebih rendah, kerana mereka tidak mampu membayar jumlah yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Hakim Surita memaklumkan bahawa jumlah jaminan yang rendah tidak boleh diberikan memandangkan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.

Beliau kemudian menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap kesalahan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat lain yang diminta pihak pendakwaan.

Suspek dibawa ke kompleks mahkamah menaiki van polis sekitar pukul 9.10 pagi selepas ditahan semasa Op Global.

Untuk rekod, sepanjang minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, termasuk 201 lelaki dan 201 perempuan berumur antara satu hingga 17 tahun.

Pada 18 September, lima lagi lelaki ditahan berhampiran pusat pemeriksaan sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah kira-kira pukul 6 petang, berhubung siasatan berterusan ke atas 20 rumah jagaan berkenaan.

Suspek berusia 28, 30, 37, 39 dan 41, disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998 dan Seksyen 14 Atipsom 2022. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain