suria

Polis buka 10 kertas siasatan berkait buruh paksa dalam GISBH

Tan Sri Razarudin memaklumkan situasi semasa siasatan GISBH.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 10 kertas siasatan ke atas syarikat GISB Holdings (GISBH) berhubung dakwaan buruh paksa yang dilakukan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas itu dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Dalam perkembangan lain, polis turut menyiasat maklumat yang dimuat naik di laman Facebook Pukas Malaysia yang mendakwa wujudnya pusat kuarantin GISBH di dalam dan luar negara.

"Pusat-pusat ini dipercayai pusat indoktrinasi dan tempat penderaan mental bagi anggota bermasalah. Polis juga sedang mengesan aset lain yang dikaitkan dengan GISBH untuk membantu siasatan," katanya pada Sabtu.

Tambahnya, kenyataan sebelum ini mengenai GISBH tidak membayar cukai merujuk kepada tahun taksiran semasa.

Susulan itu jelas beliau, siasatan tertumpu kepada perniagaan yang gagal mematuhi Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pada 19 September lepas, 19 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, isterinya dan ahli keluarga lain ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira pukul 5.40 pagi berikutan serbuan di empat unit kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Pada 11 September, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur antara satu hingga 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat dengan nama kod Ops Global.

Terdapat dakwaan bahawa kanak-kanak itu didera, dieksploitasi, dan diserang secara seksual.

Seramai 171 suspek berusia antara 17 dan 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain