suria

GISBH: Warga Australia antara 4 isteri, 3 anak pemimpin tertinggi direman seminggu

Antara yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dengan GISBH.

SEORANG warga Australia merupakan antara tujuh individu yang direman selama seminggu sehingga 4 Oktober berhubung siasatan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Ketujuh-tujuh mereka berusia 18 hingga 55 tahun, termasuk empat isteri dan tiga anak pemimpin tertinggi GISBH.

Memetik Sinar Harian, kumpulan yang terdiri daripada enam wanita dan seorang lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dengan dikawal ketat polis, pada kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi ‘beach boy’, penghantar makanan paling mudah cari duit... Anak-anak ahli GISBH mula hidup baharu lepas tinggalkan jemaah

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejar akhirat, nak jadi tentera Imam Mahdi” - Bekas pengikut dedah kehidupan pelik dan sesat dalam GISBH, terlalu taasub pemimpin

Sejak 11 September lalu, lebih 300 individu ditahan dalam siasatan polis ke atas 20 rumah jagaan yang diserbu, yang dikaitkan dengan GISBH.

Polis turut menyelamatkan 572 kanak-kanak dalam operasi yang diberi nama kod Ops Global.

Dalam serbuan Ops Global yang dijalankan pada 21 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata sejumlah 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISBH telah dibekukan.

Beliau berkata, akaun bank tersebut dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Polis Negara memaklumkan bahawa serbuan pada Sabtu minggu lalu menunjukkan terdapat premis kosong, di mana anggota GISB dipercayai melarikan diri.

Sebanyak 35 kertas siasatan dibuka sejak 11 September lalu. Polis turut menganggarkan GISBH mempunyai kira-kira 10,000 anggota.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain