suria

Disyaki jadi ‘money man’, Bukit Aman tahan Shuhaimee penjaga akaun GISBH

Bukit Aman menahan seorang individu disyaki orang penting GISBH Pulau Pinang pada Sabtu.

BUKIT Aman mengesahkan penahanan seorang tokoh utama dalam Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Shuhaimee Mohamed.

Shuhaimee dipercayai merupakan 'money man' untuk GISBH, menurut pendedahan laman Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata Shuhaimee adalah antara mereka yang ditahan di Butterworth, Pulau Pinang pada 21 September lalu dalam serbuan Ops Global.

"Dia ditahan selepas pemimpin tertinggi Nasiruddin Mohd Ali ditahan di Kuala Lumpur dua hari sebelumnya.

"Kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap Shuhaimee dan beberapa pemimpin GISBH lain termasuk menyemak semua akaun bank yang dikaitkan dengan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Taktik baharu GISBH... Ahli tukar identiti, pakai ‘cap’, jeans! Papan tanda premis diturunkan demi kelangsungan jemaah

"Daripada situ, kami akan dapat mengesan semua transaksi yang mungkin berkaitan dengan GISBH," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada 19 September, seramai 19 individu yang dipercayai pemimpin tertinggi GISBH ditahan di sebuah kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Antara yang ditahan dalam serbuan pada pukul 5.40 pagi itu ialah ketua pegawai eksekutif GISBH, Nasiruddin bersama isterinya dan dua anak lelaki mereka.

Dalam perkembangan berasingan, laman Facebook Pukas Malaysia juga mendedahkan GISBH mengumpul lebih RM2.3 juta sumbangan daripada 58 zon di seluruh dunia.

Tambah Pukas Malaysia, dana tersebut diuruskan wakil daripada setiap zon menggunakan akaun bank peribadi sebelum disalurkan kepada pengurus dana utama organisasi, iaitu Shuhaimee dan seorang wanita dikenali sebagai Hamimah.

Dana tersebut kemudiannya akan dibahagikan kepada 10 individu paling penting untuk disimpan atau digunakan bagi pembelian aset, manakala jumlah kecil akan disalurkan untuk aliran kewangan perniagaan syarikat-syarikat berkaitan GISBH. - The Star.

Artikel Lain