suria

Padah serang polis guna parang, dua penjenayah warga Vietnam ditembak mati... 11 kes pecah rumah dan kilang selesai

Polis menunjukkan rampasan yang dibuat susulan kes tembak mati dua suspek pecah rumah dan kilang

DUA lelaki warga Vietnam ditembak mati selepas melakukan serangan menggunakan parang ke atas anggota polis pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, kejadian berlaku pada 3.20 pagi apabila pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, yang melakukan rondaan, menyedari sebuah kereta mencurigakan diletakkan di sepanjang Jalan Bukit Panchor di Nibong Tebal.

“Sebaik menghampiri kenderaan itu, dua lelaki keluar dari kilang berhampiran. Pegawai mengarahkan suspek untuk berhenti, tetapi lelaki yang bersenjatakan parang telah menyerang polis.

"Para pegawai kemudian melepaskan empat das tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Jumaat.

Tambah beliau, lelaki berusia 38 dan 39 tahun yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah suspek beberapa kes pecah rumah dan kilang.

“Mereka berada di negara ini dengan visa pelancong, mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

"Siasatan kita telah menyelesaikan 11 kes membabitkan pecah rumah di pelbagai premis, enam di Pulau Pinang dan lima di Kedah, dengan jumlah kerugian RM317,700,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Seberang Perai untuk siasatan lanjut. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain