suria

Mimbar Jumaat sentuh isu ajaran sesat... Kutuk dakwaan eksploitasi kanak-kanak dalam GISBH

Mimbar Jumaat membuat teguran terbuka tentang isu GISBH. -Gambar hiasan

KEBIMBANGAN tentang pengaruh ajaran sesat dalam kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mendorong mimbar Jumaat di Wilayah Persekutuan dan Selangor mengingatkan masyarakat Islam supaya berwaspada.

Menurut teks yang akan dibacakan khatib, isu ajaran sesat dan tindakan kejam GISBH terhadap golongan kanak-kanak diberi penekanan serius.

Di Wilayah Persekutuan, teks khutbah bertajuk 'Berpegang Atas Manhaj Yang Benar' menyatakan isu ajaran sesat dan menyeleweng bukan perkara baru sebaliknya sejak sekian lama dengan para nabi diutus untuk menyeru manusia menyembah Allah dan menjauhi taghut (amalan yang menyesatkan).

Untitled design - 1

Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan bertajuk 'Berpegang Atas Manhaj Yang Benar. - Gambar hiasan.

"Penyebaran ajaran sesat juga terus berkembang dan berubah merentasi zaman menggunakan pelbagai cara untuk menarik pengikut dan mencapai keuntungan peribadi. Namun, kebatilan yang dibawa tidak dapat mematahkan kebenaran Islam yang suci.

"Negara kita juga tidak terlepas daripada ancaman penyebaran ajaran sesat. Ajaran sesat yang timbul membawa bermacam bentuk doktrin dan fahaman.

"Ada yang mengingkari kandungan dan kebenaran al-Quran, ada pula yang mendakwa diri sebagai nabi atau rasul. Ada juga yang mentafsir al-Quran secara salah, juga yang mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syar’i, juga yang mendewa-dewakan pemimpin hingga melampaui batas syarak," demikian menurut teks itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman terima 10 laporan polis baharu berkaitan eksploitasi GISBH

ARTIKEL BERKAITAN: GISB dakwa sebagai organisasi Islam tidak wujud kegiatan ‘liwat-meliwat’, polis belum panggil pengurusan tertinggi syarikat

Khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menyatakan Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah tidak mendorong umatnya untuk bersikap ekstrem sebaliknya menganjurkan supaya berkasih sayang dan bersederhana.

"Ekstremisme hanya memunculkan fitnah yang lebih dahsyat, perpecahan, kebencian, dan kehancuran negara. Maka, kita perlu lebih bijak dan rasional dalam menghadapi sesuatu isu.

"Usah biarkan emosi mendahului setiap keputusan, pertuturan dan tindakan kita. Sebaliknya berfikirkan dengan waras dan kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi penyelesai bagi segala kekeliruan," ujar khutubah berkenaan lagi.

Sementara itu, khutbah Jumaat di Selangor bertajuk 'Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak?' menyentuh kesalahan serius yang disyaki dilakukan seperti penderaan, eksploitasi, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat.

"Kesalahan berhubung amalan bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH. Semua perbuatan jenayah dan kesalahan akidah ini mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

"Malah boleh tergelincir akidah dan batal shahadah seseorang Muslim apabila melakukan kesalahan akidah ini. Apa yang paling mendukacitakan ialah laporan akhbar ada menyatakan kebanyakan rumah amal di bawah GISBH yang terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri termasuk Selangor," katanya.

Untitled design - 1

Sebahagian daripada 402 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan PDRM dalam Op Global. - Foto PDRM

Teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyatakan keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak adalah tuntutan dalam Islam dan secara langsung dengan bertujuan memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

"Kanak-kanak mempunyai hak untuk dimuliakan secara adil dan baik. Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan selamat serta jauh daripada perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak daripada ibu bapa malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim.

"Sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan tadi, amatlah tidak wajar," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain