suria

Ibu Zayn Rayyan kembali aktif di TikTok, titip pesanan untuk pemfitnah - “Sudah aku adukan semuanya kepada Penciptaku”

Ismanira membuat hantaran menitipkan pesanan kepada pemfitnah.

EMPAT hantaran terkini yang dimuatnaik ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Zaim Ikhwan di TikTok, mengejutkan warga maya.

Menerusi hantaran pertama yang dibuat Ismanira Abdul Manaf, 29, wanita itu seolah-olah menggambarkan dia dan suami, Zaim Ikhwan Zahari difitnah kerana ditahan serta didakwa selepas kematian anak sulung mereka dalam insiden pada Disember 2023.

Bermula pada petang Khamis, Ismanira berkongsi tangkap layar segmen Ad-din di mStar berhubung azab dan siksaan yang dihadapi golongan pemfitnah terutama membabitkan media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip pengebumian Zayn Rayyan kembali tular, netizen timbulkan persoalan selepas tengok bapa mangsa seluk keranda

Posting seterusnya pula jelas memaparkan perkataan fitnah yang dieja dalam tulisan jawi manakala hantaran ketiga merupakan luahan hatinya.

"Wahai pelaku, penganiaya mahupun pemfitnah sekalian. Sesungguhnya sudah aku adukan semuanya kepada Penciptaku, sekarang urusanmu bukan lagi denganku tapi dengan Penciptaku, Allah S.W.T.

"Perlakuan dan perkataanmu menembus hati, semoga doa-doaku menembus langit.

"Kalau kamu sudah hebat untuk menyakiti hati orang lain, bererti kamu sudah cukup kuat untuk menerima balasan dari-Nya," coretnya.

Hantaran yang dibuatnya di laman TikTok.

Hantaran yang dibuatnya di laman TikTok.

Malah dalam hantaran terbaharu, dia berkongsi ungkapan ringkas Justice4Zayn sebagai tanda ingatan dalam menuntut keadilan untuk arwah anaknya yang maut dibunuh.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata ini menutup ruangan komen di kesemua posting yang dibuat sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warga maya.

Sebelum ini, semua akaun media sosialnya dipadam selepas dia dan suami ditahan di Puncak Alam, Selangor dan direman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan 31 Mei lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pertuduhan yang dibuat ke atas mereka ditukar kepada mengabaikan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan.

Arwah ditemukan kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Arwah ditemukan kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Untuk rekod, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 5 Disember tahun lalu, sebelum mayatnya ditemukan di anak sungai berhampiran kawasan apartment berkenaan pada hari berikutnya.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Malah beberapa keping gambar kecederaan yang dialami serta rakaman percakapan berkaitan siasatan menjadi tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain