suria

Bekas pemimpin GISBH dedah ahli didesak cerai untuk uji ketaatan... Perkenal amalan solat jamak setiap hari walau keluar 20 kilometer

Gambar pasangan pengantin monogami dan poligami yang diraikan pada 2017.

PERINTAH untuk taat setia pada jemaah dan kepimpinan membuatkan ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) perlu akur dengan setiap peraturan yang ditetapkan termasuk diperlakukan seperti hamba sahaya.

Meskipun kehidupan mereka boleh diumpamakan seperti 'lembu dicucuk hidung', namun tahap kesetiaan setiap pengikut masih diuji bagi memastikan perjuangan 'Islam' yang diterapkan terus diamalkan sehingga ke anak cucu, walaupun perjuangan sebenar Islam tidak sedemikian rupa.

Membesar dalam lingkungan sebegitu sejak kecil, seorang bekas ahli GISBH yang mahu dikenali sebagai Muhammad Kamaludin mendedahkan, ketaatan mereka diuji dalam pelbagai bentuk termasuk perlu bekerja sebagai buruh paksa tanpa memperoleh upah namun hanya diberi makan dan tempat tinggal sahaja.

"GISBH adalah syarikat yang menggunakan tenaga manusia tanpa membayar gaji mahupun upah. Mereka beranggapan pemberian (makanan dan tempat tinggal) sudah mencukupi untuk seseorang itu menjalani kehidupan.

"Jika ahli dikehendaki pergi ke luar negara, mereka tak diberikan satu sen pun melainkan tiket dan keperluan untuk berada di sana sehingga pulang. Kalau (ahli) nak berbelanja, kena pandai-pandailah cari duit sendiri atau minta daripada ahli keluarga masing-masing.

Ahli perlu bekerja tanpa sebarang bayaran.

Ahli perlu bekerja atas dasar perjuangan dan tidak diberikan sebarang bayaran.

"Hidup mereka dipergunakan syarikat sepenuhnya... sejak lahir, mereka diletakkan di rumah amal atau atas nama tahfiz," dedahnya yang juga antara individu yang berada pada peringkat kemimpinan kumpulan itu ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Menurutnya lagi, bagi ahli yang sudah berkahwin pula, ketaatan diuji dengan cara menceraikan isteri masing-masing.

Malah paksaan itu dibuat secara berjemaah dan beramai-ramai sambil dipantau seorang pemimpin.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan mempergunakan nama Rasulullah SAW dalam setiap perkara bagi meyakinkan ahli sedangkan apa yang diperkatakan itu adalah bohong semata-mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Taktik baharu GISBH... Ahli tukar identiti, pakai ‘cap’, jeans! Papan tanda premis diturunkan demi kelangsungan jemaah

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin Berseri Diapit Dua, Tiga & Empat Isteri

"Saya amat kesal penggunaan nama Rasulullah dalam beberapa perkara seperti mendapat alamat daripada Yaqazah dengan Rasulullah... perkara ini membuatkan saya rasa sangat menyesal kerana perbuatan berbohong dengan nama Rasulullah sangat besar dosanya.

"Mereka juga memberi arahan agar setiap suami menceraikan isteri, ini dibuat secara berjemaah dan beramai-ramai kerana dipantau oleh seorang pemimpin yang pada masa itu merupakan anak pengasas syarikat.

"Dia minta kami menceraikan isteri tanpa sebab kerana mahu melihat ketaatan kami pada jemaah," tambahnya.

Para isteri diceraikan tanpa sebab demi menguji ketaatan ahli.

Para isteri diceraikan tanpa sebab demi menguji ketaatan ahli.

Nekad tinggalkan fahaman GISBH

Menyedari setiap ajaran dan arahan yang diberikan bercanggah dengan norma kehidupan manusia, Muhammad Kamaludin nekad meninggalkan jemaah GISBH pada 2011 meskipun sudah sebati dengan kumpulan itu sejak dilahirkan.

"Saya dah mula rasa banyak perkara tak masuk akal dan mungkin masa tu saya dah terbuka fikiran. Saya tengok sistem perhambaan yang menekan anak buah untuk kumpul duit dan pelanggaran syariat Islam oleh jemaah.

"Saya lahir dalam (ajaran) al-Arqam kerana mak ayah saya adalah pengikutnya. Jadi selepas pengharaman ajaran itu, saya sekolah di luar sehinggalah Rufaqa' dibuka di Rawang (Selangor) dan menyertainya pada tahun 2000.

"Saya tinggalkan GISBH pada 2011, selepas kematian pengasasnya Allahyarham Ashaari Muhammad atau Abuya," katanya yang dipertemukan dengan Abuya pada tahun 1988.

Bagi jemaah GISBH, tidak keteraluan dikatakan ahlinya akan gagal meneruskan hidup apabila meninggalkan kumpulan kerana kehidupan mereka sudah diatur sejak kecil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.

Jemaah perlu akur pada peraturan dan sistem yang ditetapkan ajaran GISBH.

Jemaah perlu akur pada peraturan dan sistem yang ditetapkan ajaran GISBH termasuk tempat tinggal.

Justeru, mereka sering melaungkan ungkapan 'bolehkah kamu hidup tanpa jemaah' seandainya terdapat ahli yang mula berpaling tadah.

Ahli yang nekad untuk keluar pula akan menerima ugutan selain dituduh bersifat munafik serta musuh perjuangan Islam dan Imam Mahdi.

"Saya juga mengalami satu peristiwa semasa meninggalkan jemaah yang mana isteri dibawa lari ke sebuah negara sehingga saya terpaksa berlakon 'bertaubat' untuk mengambil semula isteri.

"Mereka pisahkan kami dengan mengatakan saya keluar daripada perjuangan Islam, tapi akhirnya Alhamdulillah saya dapat bawa balik isteri ke Malaysia," tambahnya yang terpisah selama empat bulan dengan isteri atas tindakan nekad yang dilakukan.

'Recycle' duit zakat fitrah

Pernah terlibat dalam barisan pucuk pimpinan syarikat, dia yang kini berusia 37 tahun berkata, sepanjang tempoh dilantik sebagai pengurus dan memegang projek dalam jemaah, pelbagai korupsi terbongkar termasuklah penyelewengan wang sedekah dan dana.

"Saya pernah terlibat dengan rumah amal terutama sekali bulan Ramadan, duit masuk memang berjuta terutama untuk rumah-rumah amal induk yang besar-besar di bawah jemaah.

"Namun ia tidak digunakan untuk ahli mahupun membayar gaji pekerja," katanya yang pernah menjadi salah seorang motivator bagi menerangkan fahaman jemaah secara terperinci pada awal usia 20-an.

Zakat fitrah adalah wajib ke atas orang Islam. -Gambar hiasan

Zakat fitrah adalah wajib ke atas orang Islam. -Gambar hiasan

Lebih menyedihkan apabila ahli terpaksa menggunakan helah untuk membayar zakat fitrah semasa menyambut lebaran 1 Syawal.

"Ahli-ahli yang nak bayar zakat fitrah semasa hari raya pun kadang-kadang main helah sesama mereka... awak bayar pada saya dan saya bayar pada dia, seterusnya dia bayar semula pada awak kerana masing-masing tiada duit.

"GISBH nampak gah sampai ke luar negara tapi hakikatnya mereka yang baru meningkat dewasa dihantar sebagai tenaga percuma dengan berbekalkan keyakinan perjuangan adalah untuk kebenaran serta perjuangan imam mahdi akhir zaman," tambahnya yang kini menetap di luar negara.

Jemaah hanya perlu jamak solat

Muhammad Kamaludin juga mendedahkan mereka juga diajar dengan fahaman yang salah apabila para jemaah tidak perlu menunaikan solat fardu lima waktu seperti amalan ahli Sunnah wal Jamaah sebaliknya hanya melakukan jamak.

Malah katanya, cara solat seperti itu diamalkan sejak sekian lama, sebelum dia meninggalkan kumpulan GISBH.

Tambahnnya, alasan menghalalkan jamak ini kononnya mereka berpegang kepada mujadid (Abuya), kerana perjuangan akhir zaman, iaitu rumah (tinggal) di tempat yang tidak menentu walaupun sekadar keluar sejauh 20 kilometer.

"Memang sejak zaman saya tu solat jamak sudah jadi kebiasaan, bekas ahli yang terkini pun mengaku mereka masih mengamalkan jamak. Duduk di rumah pun boleh jamak.

"Cuma dua bulan sebelum operasi polis, mereka dah tak jamak," katanya sambil menambah GISBH lebih teruk berbanding al-Arqam meskipun kumpulan ini wujud daripada serpihan ajaran yang difatwakan sesat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain