SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan maaf daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Baginda bertitah, permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah itu diterima di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu. "Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya," titah baginda menerusi surat titah yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, pada petang Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor, janji lebih berhati-hati keluar kenyataan Sultan Selangor turut bertitah agar Muhammad Sanusi sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata, terutamanya apabila berada di negeri Selangor. "Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin. "Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Muhammad Sanusi. "Sebagai seorang pemimpin, Muhammad Sanusi harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan," titah baginda. Terdahulu, Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Menteri Besar Kedah itu membuat permohonan maaf susulan kenyataannya menghina baginda pada tahun lalu. Untuk rekod, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Selayang pada 18 Julai 2023 atas tuduhan menghasut dalam satu ceramah politik sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan. Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada pukul 11 malam, 11 Julai 2023. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube