suria

101 murid alami gejala keracunan... Kantin sekolah jamu ayam separuh masak, air coklat masam

Kantin sekolah perlu menyediakan hidangan yang berkualiti. -Gambar hiasan

HANYA kerana menikmati ayam goreng dan minuman coklat di kantin, seramai 101 murid di Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, Perak mengalami demam, cirit birit serta muntah.

Kesemua mereka yang terlibat dalam kejadian pada Rabu itu disahkan mengalami keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui sistem e-pemberitahuan pada pukul 8 pagi apabila lima murid dari sekolah tersebut menunjukkan gejala keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah, sakit perut, dan demam.

“Semua murid telah menerima rawatan di dua kemudahan kesihatan di sekitar Ipoh. Ini mendorong Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Kinta untuk menjalankan siasatan di sekolah tersebut pada pukul 10.30 pagi hari yang sama.

“Hasil siasatan pengesanan kes aktif, sejumlah 96 kes tambahan telah dikenal pasti menjelang pukul 5 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101 membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sejumlah 101 kes menunjukkan gejala muntah, 84 kes mengalami cirit-birit, 68 kes mengalami sakit perut dan 24 kes mempunyai gejala demam.

“Tanda-tanda awal bermula pada Selasa tengah hari, manakala tanda-tanda terbaru berlaku Rabu pada pukul 8 pagi. Seorang murid dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Seramai 62 murid lain menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berdekatan dan klinik swasta berhampiran rumah mereka.

“Murid lain hanya mengalami gejala ringan dan telah berehat di rumah. Semua kes dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Siasatan awal mendapati makanan yang disyaki menjadi punca keracunan adalah minuman berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin sekolah.

“Pelajar melaporkan bahawa minuman berperisa coklat yang dijual di kantin pada hari Selasa mempunyai bau ‘masam’ ketika diminum.

“Mereka juga mengadu bahawa ayam goreng tidak dimasak sepenuhnya, dengan sebahagian daging ayam masih mentah.

“Bakteria yang disyaki menyebabkan keracunan adalah Salmonella spp, berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengeluarkan arahan untuk menutup kantin sekolah selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Selain itu, denda juga telah dikenakan atas pelanggaran memakai aksesori semasa mengendalikan makanan,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain