suria

Taktik baharu GISBH... Ahli tukar identiti, pakai ‘cap’, jeans! Papan tanda premis diturunkan demi kelangsungan jemaah

Ahli kumpulan GISBH sudah tidak mengenakan pakaian 'rasmi' mereka selain menurunkan logo pada premis.

PENDEDAHAN demi pendedahan yang dibuat pasukan risikan keselamatan negara berhubung kegiatan tidak bermoral Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), membuatkan sebahagian ahlinya yang masih taksub mula merencanakan langkah baharu.

Berdasarkan maklumat terbaharu yang diperolehi, imej dan identiti mereka turut ditukar bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta penduduk sekitar.

Jika sebelum ini, pakaian 'rasmi' yang digunakan ialah jubah mahupun jersi berlengan panjang beserta seluar sukan atau slack jenis longgar dan berkopiah, kini ahli yang masih kekal dengan perjuangan yang diterapkan pemimpin GISBH mula mengenakan pakaian moden termasuk topi.

Tangkap layar perbualannya bersama 'informer' di Mesir.

Tangkap layar perbualan Muhammad Kamaludin bersama 'informer' di Mesir.

Perkara tersebut didedahkan salah seorang bekas ahli GISBH yang kini menetap dan bekerja di Arab Saudi.

Dia yang ingin dikenali sebagai Muhammad Kamaludin berkata, sejak serbuan dan tangkapan dilakukan pihak polis di seluruh Malaysia, kebanyakan ahli yang menjalankan perniagaan menukar identiti serta imej.

"Sekarang saya dapat maklumat mereka yang mempunyai banyak perniagaan terutama di luar negara, mula tukar imej, identiti mereka pun bertukar.

"Macam laporan yang saya dapat dari Mesir, kat sana mereka dah tukar pakai topi, seluar jeans, seluar biasa dan tak nampak lagi identiti asal.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz lempang sampai berdarah, kurung berbulan-bulan sambil hadap kiblat! Bekas penghuni bongkar kisah hitam rumah amal GISBH

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejar akhirat, nak jadi tentera Imam Mahdi” - Bekas pengikut dedah kehidupan pelik dan sesat dalam GISBH, terlalu taasub pemimpin

"Di Arab Saudi, mereka tukar juga imej pakaian dan buat penafian projek mereka di bawah GISBH, sedangkan umum sedia maklum perkara tersebut. Sama juga di Makkah, mereka hanya menafikan penglibatan (dalam GISBH) sahaja," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya lagi, jika ada orang luar yang bertanya mengenai GISBH, ahli-ahli diminta untuk menyatakan bahawa perniagaan mereka masih diteruskan kerana mereka telah lama keluar dari GISBH dan berdiri atas paksi sendiri.

Menyedari perubahan yang dilakukan itu dan penubuhan serta gerakan baharu yang muncul selepas pengharaman ajaran al-Arqam sebelum ini, Muhammad Kamaludin turut menggesa supaya GISBH dibanteras sehingga ke akar umbi.

Tambahan pula GISBH merupakan serpihan ajaran yang sudah difatwakan sesat oleh kerajaan Malaysia kerana mengajar ahli agar taksub kepada pemimpin.

Salah satu premis GISBH di Mesir telah menurunkan nama serta logonya.

Salah satu premis GISBH di Mesir telah menurunkan nama serta logonya.

"Kalau tidak ditangani dengan serius, kemungkinan akan berlaku (gerakan baharu) sebab dah banyak kali pun (percubaan).

"Apabila ada pengharaman atau tangkapan dibuat, selepas itu ada lagi dibangunkan syarikat-syarikat baharu dan sebagainya.

"Mana tidaknya, sebab perkara itu telah ditanam, didoktrin kepada setiap ahli sehingga menjadi sebati dalam diri," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Kamaludin turut mendedahkan arahan tersebut diberikan salah seorang ahli pimpinan tertinggi yang masih belum ditahan.

Malah katanya, individu tersebut adalah penterjemah kepada pengasas gerakan al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad yang lebih dikenali sebagai Abuya.

"Itu arahan pemimpin yang masih bebas. Apabila arahan masih berjalan, ahli-ahli akan ikut apa yang diarahkan demi kelangsungan jemaah.

"Dulu masa Arqam, dia penterjemah arwah Ashaari di negara Arab kerana menjadi pelajar kumpulan itu di Jordan dan merupakan kepimpinan muda," tambahnya.

Restoran ini sering menjadi tumpuan mereka yang gemarkan masakan Malaysia di Jordan.

Restoran ini sering menjadi tumpuan mereka yang gemarkan masakan Malaysia di Jordan.

Untuk rekod, GISBH mempunyai keseluruhan 12 rangkaian restoran di dalam dan luar negara.

Selain restoran Ikhwan Delights Sungai Pencala; GISBH turut mempunyai GH Corner Jakarta di Indonesia; Nur Muhamad Sydney di Australia; Nur Malaysia Makkah di Arab Saudi; Nur Malaysia Tashkent, Uzbekistan.

Mereka turut membuka restoran di Emiriah Arab Bersatu (Nur Malaysia Dubai); Love & Care Retaurant Bangkok, Thailand; Mihrimah Restaurant Singapore di Singapura; Nur Malaysia Paris di Perancis; Nur Malaysia Amman, Jordan; GH Corner di Mesir dan Nur Malaysia di London.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain