GEMPAR apabila seramai 402 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan daripada menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) pada 11 September lalu. Kanak-kanak ini kebanyakannya dipercayai lahir hasil amalan pihak atasan syarikat itu yang mengatur pernikahan ahli-ahlinya tidak kiralah monogami atau poligami sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2008. Dalam 'dunia' GISBH, poligami adalah perkara biasa malah sudah lama berakar umbi di organisasi itu, justeru tidak hairanlah institusi kekeluargaan mereka berkembang dan komuniti ini membesar dengan cepat. Wujud daripada kumpulan serpihan ajaran sesat al-Arqam yang diasaskan oleh Allahyarham Ashaari Muhammad atau Abuya, GISBH bergerak aktif menerusi syarikat yang beroperasi pada peringkat domestik dan global dengan menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang. GISBH menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang. Selepas al-Arqam diharamkan pada 1994 dan akhirnya terkubur, siapa sangka timbul pula konflik kekeluargaan dalam syarikat itu hasil amalan poligami apabila majoriti bayi yang lahir hasil perkahwinan sesama ahli tidak dibesarkan secara normal seperti kanak-kanak lain malah dieksploitasi. Paling menyedihkan, anak-anak ini, sama ada dilarikan, dipisahkan atau dihalang berjumpa ibu bapa kandung sekiranya mereka memutuskan untuk meninggalkan syarikat atau jemaah. Lama kelamaan, pemikiran mereka sudah didoktrin dan mereka bersedia untuk memahami bahawa ibu bapa atau sesiapa sahaja yang meninggalkan syarikat wajib dimusuhi. Aduan kepada Jais Perkara ini disahkan sendiri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendedahkan, pihak mereka menerima aduan daripada pasangan suami isteri yang telah meninggalkan kumpulan al-Arqam atau GISBH sendiri. Dalam kes ini, Jais mengistilahkan mereka sebagai 'anak kuarantin'. "Istilah yang kita panggil 'anak kuarantin' ini kalau ikut rekod aduan ada kira-kira 70, termasuk anak yang dipisahkan dengan ibu bapa dan isteri yang dipisahkan dengan suami atau dinafikan hubungan mereka. GISBH merupakan kumpulan serpihan ajaran sesat al-Arqam. "Daripada jumlah itu, empat kes melibatkan anak berusia bawah satu tahun dan paling tua membabitkan seorang wanita berusia 60 tahun yang anaknya menuntut untuk bertemu dengan ibunya yang masih menjadi ahli syarikat berkenaan," jelas jurucakap Jais itu dalam satu temubual eksklusif bersama mStar pada tahun 2017. Dalam pada itu, pihak Jais juga tidak menolak kemungkinan pada waktu itu jumlah kes ini lebih tinggi memandangkan terdapat bekas ahli yang enggan membuat aduan atau memilih untuk pasrah dengan apa yang berlaku. Pernah panggil pemimpin GISBH Menurutnya lagi, Jais menganggap amalan ini tak ubah seperti ibu bapa 'mewakafkan' anak-anak hasil daripada poligami yang ditetapkan dalam jemaah untuk tujuan jihad syarikat. Bagaimanapun, pada waktu itu Jais dikatakan hanya melihat situasi yang berlaku sebagai isu kekeluargaan dan masalah dalaman syarikat. Tidak melakukan sebarang tindakan agresif, tetapi sebagai tindak balas kepada aduan yang diterima, pimpinan syarikat telah dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan mereka menghalang ahli-ahli bertemu keluarga yang tidak lagi bersama syarikat. "Mereka tak setuju dengan istilah 'anak kuarantin' kerana mendakwa anak itu masih ada dan bebas bergerak, malahan mereka juga nafi menghalang mana-mana ahli untuk jumpa ibu bapa atau keluarga yang bukan lagi dalam kalangan ahli syarikat," kata jurucakap itu. Poligami adalah perkara biasa dalam dunia GISBH. Tambahnya, Jais pada waktu itu juga sukar untuk membantu ahli keluarga yang terkesan akibat berlakunya perpecahan dalam institusi kekeluargaan masing-masing kerana taksub kepada pimpinan tertinggi dan pemikiran dipengaruhi untuk meletakkan agama paling atas berbanding keluarga. "Susah nak cakap sebab ada ahli GISBH yang tak sedar mereka sebenarnya sudah terpisah dengan keluarga, mereka tak rasa dikuarantin atau dianiaya sebab mereka sudah lama dengan syarikat. "Mungkin ada yang takut, tapi disebabkan dalam fikiran mereka keutamaan adalah perjuangan jemaah berbanding peribadi untuk mendapat keredaan Allah dan nabi, oleh itu mereka sanggup korbankan perasaan sendiri," katanya. Poligami ke 'anak kuarantin' Secara dasarnya isu 'anak kuarantin' yang diistilahkan pada masa itu didapati wujud akibat perubahan kepimpinan dan perbezaan fahaman sejak pengharaman ajaran sesat al-Arqam. Konflik bermula apabila perjuangan berubah tetapi tidak semua ahli dapat menerimanya, menyebabkan ada yang bertindak meninggalkan syarikat, sedangkan anak, isteri, suami atau bapa mereka masih setia dan terus berjihad dalam organisasi GISBH. Sumber menambah, satu lagi faktor menyebabkan timbulnya isu ini adalah amalan poligami yang disyaratkan untuk semua ahli, sekali gus menyebabkan institusi kekeluargaan berkembang dalam masa singkat. "Misi poligami mereka kita tak halang, tapi kalau mahu jadi model poligami, anak-anak dan keluarga besar itu perlu dijaga dengan penuh kasih sayang, jangan sampai timbul masalah. "Kita difahamkan, setiap anak ahli walaupun masih kecil akan dipisahkan dengan ibu bapa dengan cara menghantar mereka ke 'pusat jagaan' milik syarikat di zon-zon tertentu atas alasan untuk berdikari. Kegiatan kumpulan itu menjadi perhatian masyarakat selepas ia dibongkar menerusi Ops Global. "Di sini saya tak nampak bagaimana wujud rasa sayang antara ibu dan anak, malah ada kes ahli langsung tak kenal anak atau ibu bapa masing-masing," tambahnya lagi. Menurut laman web GISB Holdings, syarikat itu diasaskan untuk mempromosikan cara hidup Islam dalam semua aspek, termasuk pendidikan, seni, budaya dan penternakan. Ia menekankan meletakkan Allah SWT sebagai kuasa mutlak untuk dihormati dan ditakuti. Pada pertengahan 2024, GISBH menjadi kontroversi di Malaysia apabila terbongkarnya amalan-amalan melanggari ajaran Islam, selain pelbagai perlanggaran hak-hak manusia seperti pemerasan buruh, buruh kanak-kanak termasuklah penderaan seksual kanak-kanak. Pembongkaran yang dilakukan pihak polis itu kemudiannya ditersukan kepada siasatan menyeluruh terhadap GISBH dalam operasi bernama Ops Global. Sultan dukacita Dalam perkembangan terbaharu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan sudah memanggil menghadap wakil daripada Jais, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan polis berhubung isu ini. Secara asasnya, urusan berkaitan agama Islam di negeri ini terletak di bawah kelolaan Sultan Selangor sepenuhnya. Baginda, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menzahirkan rasa dukacita selepas dikejutkan dengan berita berkaitan siasatan polis terhadap kegiatan jenayah oleh kumpulan GISBH. "Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini. "Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal," titah Sultan Selangor. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube