suria

Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor, janji lebih berhati-hati keluar kenyataan

Sanusi memohon maaf susulan kenyataannya didakwa menghina baginda pada tahun lalu.

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Kedah itu membuat permohonan maaf susulan kenyataannya menghina baginda pada tahun lalu.

"Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 seperti yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

"Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku," ujarnya.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS berkata, dia berjanji untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi meniti fasa indah bercinta selepas kahwin... Isteri pertama pinangkan ibu tunggal kawan mengaji

Selain itu dia turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas keterlanjuran kata-katanya sebelum ini.

"Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setia ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja," jelasnya.

Untuk rekod, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Selayang pada 18 Julai 2023 atas tuduhan menghasut dalam satu ceramah politik sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada pukul 11 malam, 11 Julai 2023.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain