YANG di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Tun Musa Hitam sebagai Menteri Darjah (Chancellor) yang baharu bagi Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia. Dalam satu kenyataan pada Rabu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pelantikan tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun, bermula 13 September 2024 hingga 12 September 2027. "Pelantikan ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia bagi memastikan urusan menandatangani watikah-watikah kurniaan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota di bawah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan berjalan lancar," ujar kenyataan itu. Untuk makluman, jawatan Menteri Darjah ini bukan berstatus menteri. Setiap darjah kebesaran, pingat dan bintang mempunyai watikah dan setiap watikah perlu ditandatangani oleh dua pihak, iaitu Pendaftar Darjah, Menteri Darjah sebelum ditandatangani oleh Agong. Tugas Menteri Darjah hanya menandatangani watikah untuk memastikan ketulenan watikah yang dikeluarkan. Untuk rekod, Musa, 90, adalah timbalan perdana menteri kelima negara dan menteri dalam negeri pada era 1980-an. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube