suria

Lelaki dengan 26 kes jenayah cuba rempuh polis dalam aksi kejar mengejar, akhirnya mati ditembak

Kenderaan yang dipandu suspek ditembak oleh polis.

SEORANG lelaki yang dikaitkan dengan lebih daripada 24 rekod jenayah ditembak mati ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.

Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kota Damansara cuba menahan suspek berusia 37 tahun itu sekitar pukul 3 pagi Rabu, susulan kejadian kes pecah masuk rumah.

Suspek dilaporkan memandu menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Aksi kejar-mengejar kemudiannya berlaku, namun apabila memasuki Bandar Baru Kundang, Rawang, Selangor, suspek bertindak mengundur kenderaan dalam cubaannya merempuh kenderaan polis.

Anggota polis kemudiannya terpaksa menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan ke arah suspek.

Kenderaan dipandu suspek seterusnya melencong ke bahagian sisi jalan dan suspek akhirnya maut kerana cedera parah.

Rekod menunjukkan suspek mempunyai kaitan dengan 26 kes jenayah di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Pihak polis turut merampas pelbagai senjata termasuk dua pistol bersama peluru, tiga parang, sebilah kapak dan pemotong.

Mayat suspek diserahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat ini. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain