suria

“Kejar akhirat, nak jadi tentera Imam Mahdi” - Bekas pengikut dedah kehidupan pelik dan sesat dalam GISBH, terlalu taasub pemimpin

Kehidupan kebanyakan pengikut GISBH berbeza dengan dunia luar.

SEAKAN terpisah daripada dunia luar, rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengubah kehidupan para penghuninya.

Di dalamnya menyimpan 1001 cerita yang sukar dicapai dek pemikiran waras kerana setiap aspek kehidupan begitu pelik dan sesat – ibarat menyerahkan segala jiwa dan raga kepada pemimpin.

Malah, bekas ahli GISBH sendiri membuat pengakuan mengenai kehidupan mereka sebelum ini yang bukanlah normal bagi manusia biasa.

“Berpuluh tahun tunggu Imam Mahdi, tapi tak muncul-muncul. Mereka tetap setia dengan ketua dan pemimpin selepas setiap hari kena doktrin,” kata Azhar (bukan nama sebenar) memulakan cerita.

A total of 402 children were successfully rescued as a result of police raids on 20 charity houses believed to belong to a religiously motivated business group around Selangor and Negeri Sembilan on Wednesday. Photo: PDRM

Antara serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global di rumah amal kendalian GISBH.

Untuk rekod doktrin yang dimaksudkannya itu merujuk pada fahaman dan ketaasuban terhadap ketua kumpulan atau pemimpin gerakan yang dikatakan akan menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat kelak.

Bukan itu sahaja, pemimpin kumpulan ini perlu diagungkan melebihi segala-galanya kerana membawa fahaman bahawa mereka merupakan satu-satunya jemaah yang didekati Imam Mahdi dan Rasulullah.

Liwat

Menerusi pertemuan dengan mStar, Azhar berkata mereka dipisahkan daripada keluarga masing-masing dan perlu menjalani kehidupan secara berasingan.

Bayangkan apabila mereka dipisahkan antara suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak-anak masing-masing.

“Si ayah ditempatkan di asrama lelaki dan mak di asrama perempuan, anak-anak pula di asrama kanak-kanak yang dikenali umum sebagai rumah amal.

“Kecoh disebut mangsa diajar cara meliwat dan dipaksa untuk meliwat penghuni lain. Liwat itu bermula daripada pengikut dewasa.

“Suami dan isteri tinggal berasingan, mana ada tempat ‘bersama’ jadi liwat itu menular dalam kalangan orang dewasa. Sudah jadi tabiat sebelum ia merebak ke rumah amal,” katanya kepada mStar.

Perhambaan

Azhar dibesarkan dalam kumpulan al-Arqam yang menggunakan doktrin dan fahaman sama sebelum diharamkan pada 1994 sehingga beralih kepada penubuhan GISBH.

Hingga kini katanya, setiap pengikut perlu akur dan mematuhi arahan pemimpin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz lempang sampai berdarah, kurung berbulan-bulan sambil hadap kiblat! Bekas penghuni bongkar kisah hitam rumah amal GISBH

ARTIKEL BERKAITAN: Diajar meliwat dan diliwat! 402 kanak-kanak dan remaja di rumah amal GISB dieksploitasi

“Apa yang bukan dalam GISBH itu semua dunia. Ramai pengikut kena doktrin dan mahu kejar akhirat... nak jadi tentera Imam Mahdi,” ujarnya yang kini berusia 40an.

gisb 1

Pengikut GISBH mengikut arahan ketua dan pemimpin. -Gambar hiasan

Dakwa Azhar lagi, penghambaan bukan lagi asing dalam kumpulan itu apabila mereka disuruh menjadi pekerja di premis-premis perniagaan kendalian GISBH, tetapi malangnya tidak dibayar gaji.

“Mereka hanya diberi makan minum dan tempat tinggal. Tak diberi cuti pun, kena kerja hari-hari dari pagi sampai premis tutup.

“Masing-masing sanggup bekerja kononnya atas nama perjuangan Islam. Kalau mereka buat kerja sambilan atau dapat duit daripada luar sekalipun, jumlah yang boleh digunakan sendiri hanya sedikit.

“Selebihnya perlu diserahkan kepada ketua,” jelasnya lagi.

Pendidikan

Mengenai rumah amal, Azhar mendedahkan bahawa anak-anak pengikut seawal usia dua tahun sudah ditempatkan di beberapa lokasi seluruh negara sehingga umurnya 12 tahun.

“Jemaah akan ‘bekalkan’ anak-anak. Rumah amal tu bukan rumah anak yatim sebab mereka ada mak ayah. Walaupun memang ada anak yatim, mereka tu anak kepada pengikut yang sudah meninggal dunia.

“Mereka tinggal di asrama, itulah rumah amal... itulah sekolah. Ada la belajar sikit-sikit fardu ain, selepas tu kena doktrin. Bukan tak boleh ajar, tapi mereka tak ada tenaga pengajar. Tak ada kelulusan nak mengajar.

“Sebab apa mereka tidak diberikan pendidikan? Sebab pemimpin-pemimpin tak nak para pengikut tengok dunia atau realiti luar dan tak nak hal atau perkara dalaman terbongkar ke luar,” tambahnya.

Apabila tiada pendidikan, pengikut-pengikut GISBH perlu bekerja di premis-premis perniagaan kendalian gerakan itu seperti pasar raya, kafe, restoran dan farmasi.

“Mereka SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun tak ada. Jadi, kehidupan mereka terikat dalam tu. Kerja dan kerja, kahwin sampai dua, tiga isteri dengan anak-anak pun ramai.

“Anak-anak berusia 13 hingga 15 tahun dihantar ke kilang atau ladang di kampung-kampung, kerja belakang tabir dan ada yang jadi tukang rumah, bina rumah. Anak yang berusia 16 tahun akan dihantar ke premis-premis perniagaan gerakan itu untuk bekerja,” katanya.

A total of 402 children were successfully rescued as a result of police raids on 20 charity houses believed to belong to a religiously motivated business group around Selangor and Negeri Sembilan on Wednesday. Photo: PDRM

Antara penghuni rumah amal GISBH yang diselamatkan menerusi Op Global.

Perkahwinan

Dalam gerakan itu, menurut Azhar, perkahwinan diibaratkan sebagai ‘hadiah’ bagi sesetengah pengikut yang menunjukkan potensi dan perkembangan positif.

“Perkahwinan akan diaturkan dalam kalangan pengikut dan anak-anak pengikut serta pemimpin. Nama akan ‘naik’ secara mengejut (sebagai calon) dan majlis diadakan beramai-ramai.

“Satu penghormatan apabila antara mereka dikahwinkan dengan anak-anak pemimpin. Mereka akan dipandang tinggi.

“Tapi mereka bukan kahwin kat pejabat agama, hanya buat antara mereka. Sebab itulah ada anak berbin Abdullah. Sebab apabila dah kahwin, dah mengandung baru nak fikir daftar nikah,” katanya sambil menambah hanya pihak atasan boleh memilih pasangan untuk berkahwin.

Kutipan dana

Selain itu Zahar turut mendedahkan tentang kaedah kumpulan itu menambah dana selaim hasil perniagaan dan sumbangan orang.

Katanya para pengikut di 54 zon di seluruh negara dikerah untuk mencapai sasaran RM50,000 setiap bulan bagi setiap zon.

“Kalau tak cukup, zon itu kena brainwash dan diisytihar buang keahlian. Kemudian mereka akan merayu untuk masuk balik jadi jemaah. Tak ada hitam putih pun, tapi sebab mereka dah kena doktrin buatkan mereka takut.

“Kadang-kadang memang tak cukup, jadi macam-macam cara untuk cari dana. Mereka buat kerja sambilan dan berniaga di gerai-gerai. Ada budak-budak dikerahkan keluar jual donat. Tapi mereka cuma jual, tak minta sedekah atau mengemis.

“Mereka semua ni sudahlah susah tak ada gaji, kena pula cari duit untuk cukupkan target bulanan demi perjuangan kononnya atas nama Islam untuk pemimpin-pemimpin.

“Apabila tak cukup, kena fikir pelbagai cara lain untuk topup termasuk meminjam daripada pihak ketiga dan keluarga,” katanya.

Kanak-kanak ditempatkan di rumah amal.

Hukuman

Walaupun taasub dengan kumpulan berkenaan dan setia bersama ketua kumpulan masing-masing, Azhar turut mendedahkan terdapat segelintir pengikut yang melakukan kesalahan seperti ingkar tidak mendengar arahan.

Jelasnya, terdapat hukuman yang mana pengikut akan dikurung di dalam bilik kecil sehingga sedar, insaf dan mahu bertaubat.

“Ada yang dikurung sehingga berbulan-bulan lamanya, ada yang kena kurung menghadap kiblat depan sejadah.

“Hukuman paling berat, mereka akan dihantar ke pulau, jauh dari dunia luar. Kononnya kena bina chalet, baiki sikit-sikit tapi apa pun tak ada.

“Mereka terputus dengan dunia luar. Bertahun-tahun chalet tu tak siap pun, sebenarnya tu tempat hukuman bagi mereka,” ujarnya lagi.

Tambah Azhar yang sudah meninggalkan kumpulan itu sejak 2018, minda dan pemikiran pengikut GISBH dijajah hingga mereka begitu taasub untuk berada di bawah kepompong ajaran sesat.

“Berfikirlah dengan waras, berpuluh tahun tunggu Imam Mahdi tapi tak muncul-muncul dan kemenangan yang dijanjikan tak berlaku pun.

“Adalah lebih baik duduk dengan masyarakat normal, jadi insan yang merdeka. Mereka ini (dalam kumpulan itu) bukan dipenjara tapi minda yang terkurung.

“Keluarlah daripada situ, kita akan dapat merasai dunia dan realiti yang sebenar,” katanya mengakhiri bicara.

Pada 11 September lalu, polis melancarkan Ops Global, menyaksikan serbuan ke atas 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH.

Kini polis sedang menyiasat GISBH sebagai sindiket jenayah terancang dan rumah kebajikan kanak-kanaknya tidak berlesen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain