suria

Bukit Aman terima 10 laporan polis baharu berkaitan eksploitasi GISBH

Razarudin menunjukkan beberapa gambar rampasan berkaitan GISBH. -Gambar file

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 lagi laporan polis daripada mereka yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka dalam laporan itu berumur dari 14 hingga 20-an.

"Kes-kes itu berlaku sejak 2013 hingga tahun ini. Laporan polis dibuat bagi kejadian di Miri (Sarawak), Rawang (Selangor) dan Alor Setar (Kedah)," katanya ketika dihubungi The Star pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah banyak aduan ‘anak kuarantin’ dibuat... Jais sukar bertindak, anggap cuma konflik kekeluargaan GISBH

Lebih 300 individu telah ditahan dalam siasatan polis ke atas 20 rumah jagaan yang diserbu yang dikaitkan dengan GISB sejak 11 September.

Polis turut menyelamatkan 572 kanak-kanak dalam operasi yang diberi nama kod Ops Global.

Dalam serbuan Ops Global yang dijalankan pada 21 September, Razarudin berkata sejumlah 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISBH telah dibekukan.

Beliau berkata, bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sekretariat KPN telah membekukan akaun di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata, serbuan pada Sabtu turut menunjukkan terdapat premis kosong, di mana anggota GISBH dipercayai melarikan diri.

"Kami prihatin terhadap kesejahteraan mereka kerana struktur GISBH telah runtuh, justeru ahli tidak mempunyai tempat untuk berpatah balik atau tempat tinggal.

"Kami menggesa mereka tampil ke hadapan supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan, terutama untuk kanak-kanak," katanya..

Razarudin turut menyeru mereka yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil secepat mungkin.

“Kami juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya sambil menambah dianggarkan terdapat 10,000 ahli GISBH.

Sebanyak 35 kertas siasatan telah dibuka sejak 11 September.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain