TIGA premis makanan diarahkan tutup serta-merta selepas diberi notis penutupan selama 14 hari berikutan penemuan najis tikus di kawasan dapur dan kebersihan tidak memuaskan. Arahan itu dikeluarkan susulan Operasi Bersepadu yang dilakukan bagi tindakan penguatkuasaan di tiga premis makanan di George Town, Pulau Pinang. Operasi yang dijalankan pada pukul 8 malam itu membabitkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP), pada Khamis. MBPP dalam kenyataan memaklumkan operasi bersepadu itu memberi perhatian utama kepada aspek kebersihan dan juga warga asing yang bekerja di premis makanan tersebut. "Ketiga-tiga premis makanan tersebut diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari berkuatkuasa pada 26 September ekoran penemuan najis tikus di kawasan dapur dan keadaan kebersihan tidak memuaskan. "Kesemua premis tersebut juga gagal menyediakan kawalan makhluk perosak (pest control) secara berjadual," menurut kenyataan itu. Selain itu, JIMPP turut menahan seramai enam warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita yang bekerja di dua premis makanan berkenaan. "Penahanan ini disebabkan lima warga asing tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan seorang lagi melanggar Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan," tambah kenyataan itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube