suria

Jadi ‘beach boy’, penghantar makanan paling mudah cari duit... Anak-anak ahli GISBH mula hidup baharu lepas tinggalkan jemaah

Pelbagai kerja yang dilakukan bekas ahli GISBH. -Gambar hiasan

KEINGINAN untuk hidup secara normal tanpa terikat dengan doktrin karut mendorong golongan muda dalam Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) untuk meninggalkan jemaah itu.

Walaupun minda dan pemikiran diasuh supaya taasub terhadap ketua kumpulan atau pemimpin gerakan yang dikatakan akan menyelamatkan mereka di akhirat kelak, hakikatnya golongan itu juga mahu merasai kenikmatan di dunia luar dan realiti kehidupan sebenar.

Namun, bukan mudah untuk mereka membiasakan diri dengan kehidupan dunia luar lebih-lebih lagi bagi yang masih bujang.

Pengikut GISBH mengikut arahan ketua dan pemimpin. -Gambar hiasan

"Apabila keluar daripada GISBH, mak ayah tak mengaku anak dan mereka akan dipulaukan. Kadang-kadang mak ayah pujuk supaya masuk kembali dalam jemaah.

"Jika mereka nekad juga keluar, susah nak mulakan hidup baharu dalam keadaan bujang, tiada simpanan, tiada pelajaran dan tiada tempat tinggal," kata Shahrul (bukan nama sebenar), seorang bekas ahli GISBH ketika memulakan cerita kepada mStar.

Ujar Shahrul, perkara utama yang mendorong mereka nekad meninggalkan jemaah ialah kerana tidak tahan hidup dalam kesusahan walaupun dikerah untuk bekerja.

"Tak boleh ada harta, tak boleh ada kehidupan sendiri. Semua diatur oleh orang atasan. Ada yang sedar sebab tengok orang atasan senang, pengikut bawahan susah.

"Ada yang keluar sebab baru sedar GISBH menyimpang atau sesat. Saya sendiri keluar sebab selepas melihat benda-benda karut dalam GISBH dan sedar ia bukan mengamalkan Islam yang sebenarnya," ujarnya ketika dihubungi.

Shahrul yang meninggalkan GISBH sejak 2018 berkata, kebanyakan anak-anak muda yang keluar daripada gerakan itu berusia lingkungan 20an terpaksa hidup berdikari.

Kehidupan kebanyakan pengikut GISBH berbeza dengan dunia luar.

Bayangkan mereka bukan sahaja tidak mempunyai taraf pendidikan serta asas agama yang kukuh, bahkan mengalami kesukaran untuk memulakan kehidupan baharu tanpa sokongan keluarga.

"Sebagai permulaan, mereka akan tinggal di rumah bujang sesama bekas ahli GISBH yang sudah keluar lebih awal.

"Apabila duduk di rumah bujang, tiada siapa yang pantau dan ambil berat. Biasanya, pengaruh-pengaruh tak baik dan gejala sosial datang seperti dadah, liwat dan zina.

"Sebenarnya masalah ini dihadapi anak-anak GISBH daripada dalam jemaah kerana kurangnya kasih sayang dan pemantauan daripada ibu disebabkan ditempatkan di rumah anak yatim (rumah amal) sejak kecil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejar akhirat, nak jadi tentera Imam Mahdi” - Bekas pengikut dedah kehidupan pelik dan sesat dalam GISBH, terlalu taasub pemimpin

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz lempang sampai berdarah, kurung berbulan-bulan sambil hadap kiblat! Bekas penghuni bongkar kisah hitam rumah amal GISBH

Tanpa mempunyai simpanan, kata Shahrul, apa yang boleh diharapkan segelintir mereka adalah mendapatkan bantuan dan sokongan daripada bekas ahli GISBH.

"Ada yang jadi penghantar makanan, pembantu restoran, buka gerai tepi jalan. Biasanya mereka beli motor murah, deposit rendah dan hutang kedai.

"Ada juga kawan-kawan yang tolong dulu, pinjam duit daripada mereka yang dah keluar daripada GISBH lebih awal dan sudah bekerja.

"Macam tempat tinggal, mula-mula tumpang dulu rumah bujang kawan-kawan, kemudian baru mereka bayar sewa," ujarnya.

Penghantar makanan mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup. -Gambar hiasan

Tambah Shahrul, kebiasaannya bekas ahli GISBH yang bujang akan menjadikan penghantar makanan atau pemandu e-hailing sebagai pekerjaan pilihan kerana ia tidak memerlukan sijil pendidikan dan dengan syarat mempunyai lesen memandu.

Selain itu, Shahrul turut mendedahkan terdapat segelintir pemuda-pemuda bekas ahli GISBH yang bekerja dalam sektor pelancongan sebagai beach boy.

Dakwanya, mereka menguruskan aktiviti-aktiviti pelancongan di sebuah pulau peranginan terkenal di negara ini kerana ia tidak memerlukan sijil dan kelulusan akademik.

"Dulu ada seorang dalam kalangan budak bekas ahli GISBH ni bekerja sebagai beach boy di pulau itu. Jadi dia ajak beberapa kawan lain untuk sama-sama bekerja dengan dia.

"Kira-kira 10 orang, kerja berkaitan sewa jet ski dan pelampung serta kerja-kerja sewaan lain di pantai. Tapi tk ramai minat sebab perlu berpanas terik setiap hari," jelasnya.

Meskipun mencabar, namun menurut Shahrul anak-anak muda ini sudah terbiasa hidup sendiri sejak kecil menyebabkan mereka mempunyai kekuatan untuk mengharunginya.

Antara serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global di rumah amal kendalian GISBH.

Jelasnya lagi, kekuatan mereka untuk berdikari adalah keinginan untuk mencari wang kerana tidak mempunyai simpanan semasa berada di dalam jemaah.

"Mereka kerja untuk dapatkan gaji, dapatkan duit. Mereka sebenarnya ada keinginan sewaktu dalam GISBH, tapi ia mustahil untuk capai.

"Contohnya mereka nak handphone model terkini, di dalam GISBH pula tak boleh sebab duit nak beli pun tak ada. Kalau mampu beli pun (daripada pelbagai sumber), jadi masalah kerana akan dipertikai oleh ketua mereka sebab duit sepatutnya diserahkan kepada jemaah.

"Dalam GISBH, mereka diminta berkorban harta habis-habisan. Jadi tak boleh nak pakai handphone paling canggih, kalau ada nanti ketua mereka akan minta serah atas nama perjuangan," tambahnya.

Mengenai gejala sosial seperti dadah, liwat dan zina, Shahrul bagaimanapun berkata bukan semua seperti itu kerana hanya segelintir yang didakwa terlibat.

"Ramai yang nak keluar mulakan hidup baharu dan buat kerja halal. Mereka akan buat apa-apa kerja sekalipun.

"Budak-budak ex-GISBH ni tak ada yang kerja bukan-bukan sebab mereka tak tahu cara kerja begitu. Penampilan mereka pun tak menarik kalau nak kerja mudah seperti money boy atau escort.

"Bagi mereka, dapat kerja untuk hidup pun dah cukup. Lama-kelamaan mereka boleh biasa dengan keadaan itu dan cuma ambil masa dua hingga tiga tahun," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain