suria

Pengikut wanita lebih taasub, kuat pegangan doktrin... Sanggup ingkar arahan suami tinggalkan GISBH demi pemimpin!

Bekas ahli GISBH berdepan pelbagai ujian selepas meninggalkan jemaah itu. -Gambar hiasan

KETAASUBAN dan ketaatan setiap pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) kepada pemimpin mereka adalah berbeza mengikut doktrin fahaman masing-masing.

Difahamkan golongan wanita adalah pengikut paling taat dalam gerakan GISBH berbanding lelaki yang lebih mudah menyedari tentang fahaman sesat kumpulan berkenaan.

Maka tidak hairanlah apabila ada segelintir pasangan suami isteri dalam GISBH yang tidak sehaluan serta enggan taat kepada perintah suami agar meninggalkan jemaah.

Menurut cerita Fahmi (bukan nama sebenar), sebagai bekas pengikut GISBH, dia memahami mengapa tidak ramai golongan wanita yang keluar daripada jemaah itu.

Salah satu puncanya ialah perkahwinan mereka sudah diatur dengan ahli-ahli jemaah.

Pengikut GISBH mengikut arahan ketua dan pemimpin. -Gambar hiasan

"Bagi pasangan yang menjalani kehidupan sebagai ahli GISBH... kalau si suami nak keluar pun, biasanya isteri tak nak sebab doktrin pada perempuan susah nak dibetulkan.

"Mereka mudah taasub dan susah nak sedar. Namun kalau suami isteri sama-sama nak keluar, biasanya mereka dapat bawa anak-anak keluar sekali.

"Yang jadi masalah apabila salah seorang tak nak ikut (keluar). Nanti jemaah akan sorok anak mereka itu dan pastikan yang dah keluar jemaah tak akan dapat hak," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi ‘beach boy’, penghantar makanan paling mudah cari duit... Anak-anak ahli GISBH mula hidup baharu lepas tinggalkan jemaah

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejar akhirat, nak jadi tentera Imam Mahdi” - Bekas pengikut dedah kehidupan pelik dan sesat dalam GISBH, terlalu taasub pemimpin

Menurut Fahmi lagi, dia meninggalkan GISBH pada 2018 selepas menyaksikan pelbagai perkara menyimpang dalam gerakan itu dan bukan mengamalkan Islam yang sebenar.

Lelaki berusia 40an itu bagaimanapun bersyukur apabila isterinya turut bersependapat dan akhirnya mereka meninggalkan jemaah.

"Rupanya sejak awal isteri saya dah nampak menyimpang. Selain itu kami mudah keluar sebab sama-sama dah tak nak ikut.

"Cuma kami dapat tentangan daripada jemaah. Mereka anggap kami musuh, fitnah dan hentam kami setiap hari.

"Tapi saya ambil sikap tak ambil tahu langsung dengan jemaah dan putuskan terus hubungan dengan mereka," tambahnya.

Anak-anak akan dibawa keluar bersama. -Gambar hiasan

Bergelar suami dan bapa kepada dua cahaya mata, Fahmi mendapati bekas-bekas ahli GISBH yang sudah berkeluarga merupakan golongan paling susah untuk memulakan hidup baharu kerana tanggungan lebih besar.

"Mereka terpaksa bekerja dengan orang atau mula berniaga secara kecil-kecilan ikut kemahiran yang ada. Antara mereka, ada yang berniaga makanan tepi jalan, jual cakoi, nasi lemak atau nasi berlauk.

Setelah mengharungi kesusahan, saya memulakan perniagaan selepas mendapat bantuan modal daripada keluarga mentua.

FAHMI (BUKAN NAMA SEBENAR)

BEKAS AHLI GISBH

"Ada yang jadi pemandu kenderaan e-hailing atau penghantar makanan. Ada juga bekas pengikut lelaki yang bekerja di bengkel

"Bagi isteri-isteri, mereka buat kerja ringan bagi membantu suami. Ada yang berniaga depan rumah atau kebiasaannya menjadi pembantu di kedai makan," ujar Fahmi lagi.

Antara serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Global di rumah amal kendalian GISBH.

Namun bagi Fahmi sendiri, dia bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada keluarga mentuanya yang mengusahakan bisnes.

"Mentua saya adalah pengikut GISBH tapi mereka bukan ahli full time. Mereka ada bisnes di luar, hanya ke program-program GISBH dan bagi sumbangan duit.

"Masa mula-mula keluar pun saya memang struggle, jadi pemandu. Kerja sana, kerja sini.

"Setelah mengharungi kesusahan, urusan saya dipermudahkan dengan memulakan perniagaan selepas mendapat bantuan modal daripada keluarga mentua. Saya anggap ini sebagai 'rezeki terpijak'," katanya.

Dia yang kini mengusahakan beberapa bisnes termasuk perniagaan makanan memaklumkan isterinya pada mulanya tidak bekerja dan hanya menguruskan hal rumah tangga selepas keluar daripada GISBH kira-kira enam tahun lalu.

"Dulu kami susah tapi sekarang dah ada perniagaan sendiri. Sekarang bukan lagi bisnes di tepi jalan, tapi perniagaan berskala besar.

"Dah boleh beli rumah, ada kereta mewah. Hasil usaha kami sendiri. Isteri dilahirkan dalam keluarga bisnes, jadi dia ada kemahiran berniaga sejak awal," katanya.

Mereka mahu mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. -Gambar hiasan

Namun jelas Fahmi, kehidupan mereka mungkin berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan bekas-bekas ahli GISBH lain yang sudah berkahwin.

"Biasanya mereka tumpang rumah keluarga atau kawan dahulu. Apabila dah cukup duit, baru mereka akan menyewa sendiri.

"Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka juga akan bawa anak-anak sekali apabila keluar bekerja atau berniaga.

"Para isteri akan bantu suami masing-masing sebab faham akan kesusahan untuk memulakan hidup baharu. Mereka ambil masa bertahun-tahun untuk merasai kehidupan lebih selesa.

"Tapi bagi mereka kehidupan di luar... di dunia sebenar adalah jauh lebih baik berbanding ketika bersama jemaah," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain