LAPORAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menunjukkan kejayaannya dalam merapatkan pelbagai jurang pendidikan dan semakin tekal selepas 11 tahun pelaksanaannya. Pencapaian itu merupakan hasil komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaan transformasi di landasan yang betul. Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata sejak dilancarkan, sasaran PPPM adalah memastikan ekosistem pendidikan negara lebih mantap dari segi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Berikut adalah pencapaian PPPM selepas 11 tahun. 1. Akses Azman berkata, terdapat peningkatan enrolmen di semua peringkat persekolahan yang konsisten membuktikan tahap keyakinan pihak berkepentingan terhadap sistem pendidikan. "Walaupun pendidikan di peringkat prasekolah bukannya wajib, namun KPM komited memastikan anak-anak dapat diberikan pendidikan awal agar membantu meningkatkan persediaan ke sekolah rendah. "Enrolmen menengah atas juga diberi perhatian bagi memastikan murid mendapat pendidikan sehingga peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka," katanya menerusi kenyataan. Azman memaklumkan jurang pendidikan berjaya dirapatkan berdasarkan laporan PPPM. Foto LOW LAY PHON Azman berkata, perhatian juga diberikan terhadap peningkatan enrolmen dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). "Peningkatan enrolmen dan tahap kebolehpasaran yang tinggi dalam bidang ini melebihi 95 peratus setiap tahun. Ia membuktikan bidang kemahiran mendapat pengiktirafan industri. "KPM memastikan inklusiviti dalam pendidikan melalui pendidikan khas bagi murid bekeperluan pendidikan khas (MBPK) dan program pendidikan pintar cerdas bagi murid yang mempunyai tahap kecerdasan (IQ) melebihi skor 130," katanya yang memaklumkan bahawa kadar keciciran sekolah juga menunjukkan trend yang semakin berkurangan. 2. Kualiti Bagi memastikan kualiti pendidikan, Azman berkata fokus utama diberikan kepada peningkatan profesionalisme dan kemahiran guru. "Di peringkat prasekolah, tumpuan utama adalah untuk memastikan guru yang berkualiti dengan memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Bagi menjamin kualiti serta standard prasekolah, KPM juga giat memastikan prasekolah swasta berdaftar dengan KPM. "Dalam bidang TVET, memandangkan kadar kebolehpasaran mencapai tahap melebihi 95 peratus setiap tahun, kini KPM menumpukan kepada usaha untuk memastikan kebolehpasaran sepadan dengan bidang pengajian, kini mencapai 73.4 peratus berbanding 34.57 peratus lima tahun dulu," katanya. Beliau berkata, bagi memastikan aspirasi murid dalam kemahiran berdwibahasa tercapai, KPM sejak awal pelaksanaan PPPM telah memperkenalkan dasar MBMMBI iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. "Justeru, KPM terus giat berusaha meningkatkan keterampilan berbahasa guru dan murid dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. "Fokus bagi setiap inisiatif ini adalah meningkatkan kemahiran dan penguasaan guru dalam menyampaikan PdP dengan berkesan," jelasnya. Tambah beliau, KPM juga memberi peluang kepada murid yang ingin menguasai bahasa lain melalui inisiatif bahasa tambahan dengan kerjasama strategik diwujudkan dengan Jepun, Perancis, Korea dan Jerman. TVET merupakan salah satu daripada enam bidang utama Reformasi Pendidikan. -Gambar Hiasan 3. Ekuiti KPM berusaha dengan penuh komitmen untuk memastikan tiada murid yang terpinggir tanpa mengira latar belakang mereka. Justeru, Azman berkata jurang pendidikan antara jantina dan status sosioekonomi berjaya dirapatkan. Di samping itu, kadar lulus SPM juga berjaya dipertingkatkan secara konsisten. "Pendidikan Orang Asli dan Peribumi menunjukkan peningkatan dari segi kehadiran ke sekolah iaitu 83.12 peratus, serta kadar transisi murid dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu juga meningkat ke 89.86 peratus. “Tumpuan kini diberikan terhadap meningkatkan kualiti pendidikan orang Asli dan Peribumi dengan pencapaian penguasaan tahap minimum juga meningkat terutamanya Matematik,” katanya. 4. Perpaduan Azman berkata, melalui Kajian Indeks Perpaduan yang dijalankan, indeks perpaduan sekolah menunjukkan peningkatan kepada 7.51 iaitu erat. Menurutnya, KPM menubuhkan satu Jawatankuasa Perpaduan di peringkat kementerian bagi menyambut agenda perpaduan kerajaan. "Selain memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, KPM juga berusaha dalam membangunkan potensi dan karakter murid melalui pendidikan. "Inisiatif dijalankan berjaya memperkenalkan program khidmat masyarakat sebagai sebahagian daripada elemen dalam kurikulum untuk membentuk sahsiah murid. Penurunan bilangan sekolah bermasalah disiplin tinggi juga satu indikator peningkatan sahsiah diri murid," katanya. Kemudahan infrastruktur asas menunjukkan peningkatan dengan 100 peratus makmal yang telah berjaya dilengkapkan di semua sekolah. - Gambar Hiasan 5. Kecekapan Beliau berkata dari segi kewangan, KPM berusaha mengoptimumkan perbelanjaan berasaskan keberhasilan program. Dari segi teknologi pula, KPM melaksanakan Pemusatan Perkhidmatan Teknikal ICT KPM yang dapat menyelesaikan masalah berkaitan teknikal. "Dari segi kemudahan infrastruktur asas di sekolah, secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan 100 peratus makmal di semua sekolah, 97.1 peratus pusat sumber, 95.7 peratus kemudahan sukan dan 79.4 peratus ruang pendidikan Islam telah berjaya dilengkapkan. "Namun, kemudahan mesra OKU masih lagi pada kadar rendah iaitu 28 peratus, walaupun ia meningkat tetapi inilah antara jurangnya yang perlu ditambah baik," katanya. Sementara itu, Azman berkata berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kejayaan PPPM 2013-2025 tidak hanya diterjemahkan dalam bentuk laporan tahunan, tetapi akan dipersembahkan secara showcase murid kepada semua pihak berkepentingan. Katanya, 2023 menandakan tahun kesebelas pelaksanaan PPPM dan majlis yang diadakan adalah bertemakan kemenjadian murid. "Majlis ini menampilkan bakat-bakat yang lahir daripada sistem pendidikan negara di bawah pelaksanaan PPPM, dengan penglibatan aktif murid dari pelbagai peringkat umur, termasuk pelajar institusi pendidikan guru dan kolej matrikulasi. "Pasangan pengacara majlis iaitu Muhammad Hasif Arham Sairozi dan Damia Qasrina Noor Azman yang petah berdwibahasa membuktikan kejayaan aspirasi murid untuk mahir dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa tambahan. "Acara ini juga menampilkan showcase Maths genius, dan demonstrasi robotik oleh kumpulan murid daripada Akademi Sains Pendang," katanya. Gelagat Kumika Kufaizul (kiri) yang petah berbicara dan berpantun, mencerminkan bimbingan guru dan ibu bapa dalam mengembangkan potensinya. Azman berkata, ekuiti dalam pendidikan juga dibuktikan melalui sesi kelas hibrid oleh Cikgu Hazeem Azemi dari SMK Kuala Krau, Pahang. Beliau berjaya mendidik anak-anak murid daripada kalangan anak orang Asli menggunakan peralatan digital dan mendedahkan mereka kepada bidang keusahawanan. "Pelibatan pengiring jemputan dari kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi mewarnai kepelbagaian peringkat umur dan menunjukkan kemenjadian murid yang berani dan bersopan santun. "Kemenjadian murid yang dicapai melalui pelbagai peranan dan sumbangan semua pihak berkepentingan merupakan antara bukti kejayaan PPPM yang perlu diraikan," katanya. Hazeem Azemi dari SMK Kuala Krau, Pahang mendidik anak Orang Asli menggunakan peralatan digital. Dalam pada itu, Azman mengakui masih terdapat cabaran yang perlu ditangani dan ketelusan laporan tahunan PPPM dapat memberikan maklumat tentang jurang pendidikan yang masih ada dan perlu diperbaiki. "Namun, KPM mula melaksanakan langkah proaktif dalam memastikan langkah intervensi terus diambil bagi menangani kekangan yang dihadapi. "Melalui Reformasi Pendidikan yang sedang diusahakan dalam enam bidang utama seiring dengan hala tuju kerajaan Madani, fokus diberikan terhadap kurikulum, prasekolah, TVET, MBMMBI dan Pendidikan Digital serta bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM)," katanya. Beliau juga memaklumkan setiap pencapaian yang direkodkan melalui laporan tahunan PPPM dari awal sehingga terkini perlu dijadikan rujukan supaya pengajaran dapat diambil bagi tidak mengulang kembali kesilapan lalu. "Selain memperoleh maklumat tentang kejayaan yang pernah dikecapi, laporan juga memberi maklum cabaran yang dihadapi, dan kerjasama diperolehi daripada semua peringkat pihak berkepentingan dalam usaha memastikan kejayaan transformasi pendidikan Malaysia," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube