suria

Anak Sabari harap jasad bapa segera ditemukan, mahu ada pusara

Keluarga berharap agar Sabari segera ditemukan.

"HARAP ayah ada kuburnya macam orang lain."

Begitulah luahan anak bongsu Sabari Baharom, 62, yang mendoakan agar jasad bapanya segera ditemukan segera oleh pasukan penyelamat.

Anak mangsa, Muhammad Amir Hakimi, 25, bersama keluarga turut mendoakan agar operasi pencarian jasad bapanya di Sungai Padang Terap di Wang Tepus, dipermudahkan.

Memetik Sinar Harian, walaupun hanya jasad, dia amat berharap semua pihak yang terlibat dapat mencari bapa mereka dengan sehabis baik.

"Saya tahu mereka yang terlibat mencari ayah memang pakar dalam bidang ini, sebab kalau saya sendiri yang nak cari memang tak mampu dan mustahil akan jumpa," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian bapanya di Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di Kubang Pasu pada Selasa.

Keluarga Sabari berharap operasi pencarian dipermudahkan.

Muhammad Amir sekeluarga turut menyerahkan pihak polis menjalankan siasatan susulan penahanan suspek berkaitan dengan kehilangan bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan Sabari akhirnya terjawab! Mangsa dipercayai dibunuh, dicampak dalam sungai

Terdahulu, misteri kehilangan Sabari yang merupakan pesara pegawai kewangan Felcra sejak 4 September lalu akhirnya terjawab susulan penahanan dua suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan mangsa.

Mangsa dipercayai dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pendedahan itu dibuat susulan penahanan dua suspek berusia 26 dan 38 tahun, pada Jumaat lalu.

"Polis Kedah berjaya mengesan dan menahan dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes berkenaan.

"Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurut Fisol, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.

Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangannya menjadi misteri apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemukan dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik.

Bagaimanapun, mangsa tidak dijumpai di lokasi kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain