suria

Misteri kehilangan Sabari akhirnya terjawab! Mangsa dipercayai dibunuh, dicampak dalam sungai

Kehilangan Sabari Baharom akhirnya terjawab, susulan penahanan dua suspek.

MISTERI kehilangan seorang pesara pegawai kewangan Felcra sejak 4 September lalu akhirnya terjawab susulan penahanan dua suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan mangsa.

Mangsa, Sabari Baharom, 62, dipercayai dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra, Kedah dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kes pembunuhan Sabari itu susulan penahanan dua suspek berusia 26 dan 38 tahun, pada Jumaat lalu.

"Polis Kedah berjaya mengesan dan menahan dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes berkenaan.

"Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini mangsa masih gagal ditemui dan usaha mencari masih dilakukan.

Menurut beliau, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.

Fisol berkata, polis sudah memaklumkan mengenai perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

"Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis," katanya lagi.

Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangannya menjadi misteri apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemukan dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik.

Bagaimanapun, mangsa tidak dijumpai di lokasi kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain