suria

Insiden lompat landasan monorel, polis rakam keterangan 3 individu

Tangkap layar rakaman aksi seorang lelaki melintas di landasan di stesen monorel Bukit Bintang.

POLIS merekodkan keterangan tiga individu berhubung insiden seorang lelaki yang dirakamkan melompat dan melintas landasan monorel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dalam kejadian pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, keterangan mereka dirakamkan bagi membantu siasatan.

"Kita masih mengesan suspek yang terlibat dalam insiden itu.

"Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Papan Iklan Digital di Balai Polis Sri Hartamas di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Sehubungan itu, Sulizmie meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut supaya menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi 03-26002222, hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau tampil di balai polis berhampiran.

Pada Jumaat lalu, dilaporkan polis mengesan seorang lelaki yang merakam aksinya melintas landasan di stesen monorel Bukit Bintang.

Rakaman berdurasi 4 saat itu dimuat naik dalam satu laman media sosial, pada Selasa lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain