suria

GISBH: Hampir 600 kanak-kanak diselamatkan, 80 kertas siasatan dibuka

Saifuddin menjelaskan mengenai perkembangan siasatan berkaitan dengan GISBH. -Gambar fail

HAMPIR 600 kanak-kanak diselamatkan dari rumah jagaan yang dikendalikan oleh GISB Holdings (GISBH), dengan 80 kertas siasatan dibuka terhadap organisasi itu, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri mendedahkan 592 kanak-kanak diselamatkan dan 359 individu dikaitkan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan terhadap GISBH adalah berdasarkan beberapa akta, termasuk Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengikut wanita lebih taasub, kuat pegangan doktrin... Sanggup ingkar arahan suami tinggalkan GISBH demi pemimpin!

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejar akhirat, nak jadi tentera Imam Mahdi” - Bekas pengikut dedah kehidupan pelik dan sesat dalam GISBH, terlalu taasub pemimpin

Beliau turut menjelaskan bahawa kertas siasatan mengambil masa lama untuk diselesaikan sebelum polis menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Sama ada terdapat pendakwaan atau tidak, ia bergantung pada pihak AGC," tambahnya.

Dalam sidang media berkenaan, Saifuddin turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap pihak polis yang menjalankan siasatan.

"Siasat sekiranya ada bukti eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak, atau kesalahan di bawah Akta Kanun Keseksaan atau Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain