SUSULAN tular kisah seorang mahasiswa yang menggunakan guni bagi mengisi barangan keperluan ketika pendaftaran kemasukan pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tampil menghulurkan bantuan. Menurut Fadhlina, beliau sudah menghubungi mahasiswa berkenaan, Rafida Zaiddin dan menguruskan semua urusan beban kewangan serta keperluan bagi meneruskan pengajian. Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, emosinya tersentuh apabila mendapat tahu kisah Rafida, apatah lagi beliau juga mempunyai anak yang sebaya dengan mahasiswa tersebut. "Rafida adalah anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Malah sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. "Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana ketika hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti," katanya dalam satu kenyataan. Dalam masa yang sama, Fadhlina berkata kisah Rafida memberi kesedaran mengenai perjuangan pendidikan manusiawi yang menjadi kekuatan kepada negara. "Terbang tinggi, berdiri tegak. InsyaAllah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diurus dengan baik sehingga habis pengajian. "Semoga Allah SWT memberkati pengajian anakanda Rafida," katanya. Terdahulu, tular kisah Rafida yang menggunakan karung guni sebagai bagasi untuk mengisi barang ketika mendaftar masuk ke UMS. Sekeping gambar yang tular memaparkan keadaan karung guni milik mahasiswa itu menyentuh hati ramai pihak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube