"TERGAMAK mereka bertindak kejam terhadap suami saya." Begitulah rintihan isteri mangsa,Sabari Baharom, 62, terhadap perbuatan suspek yang kejam kerana mencampakkan suaminya ke dalam sungai. Memetik Sinar Harian, Subhiah Roslina Shahibi menyifatkan tindakan suspek sebagai hati kering kerana sanggup melakukan perkara itu sebegitu rupa terhadap suaminya. "Hati kering betul kerana duit mereka hilang pertimbangan sampai tahap membunuh," kata wanita berusia 57 tahun itu dipetika sebagai berkata pada Selasa. Subhiah bagaimanapun bersyukur apabila dimaklumkan mengenai perkembangan kes daripada pihak polis serta penahanan dua suspek. ARTIKEL BERKAITAN: Abang sebak terkenang Sabari... Panggilan, mesej tak berjawab rupanya satu petanda ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan Sabari akhirnya terjawab! Mangsa dipercayai dibunuh, dicampak dalam sungai Sehingga kini, jasad Sabari masih belum ditemukan selepas dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jitra biarpun operasi pencarian memasuki hari kedua. "Perasaan saya agak lega sedikit kerana selama 26 hari menunggu dan kini telah mendapat jawapannya, kini kami menunggu satu lagi berita iaitu jasad arwah pula. "Setiap hari kami sekeluarga memikirkan misteri kehilangan suami dan harap-harap dapatlah apa sahaja yang berkaitan dengan arwah sama ada pakaian atau apa sahaja barangan," katanya yang kini bekerja di Kuala Lumpur, manakala suaminya tinggal di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang dekat Baling. Pada Isnin, misteri kehilangan Sabari yang merupakan pesara pegawai kewangan Felcra sejak 4 September lalu akhirnya terjawab susulan penahanan dua suspek. Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa dipercayai dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat. Menurutnya, ia susulan penahanan dua suspek berusia 26 dan 38 tahun, pada Jumaat lalu. Siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh. Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini. Kehilangannya menjadi misteri apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemukan dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik. Bagaimanapun, mangsa tidak dijumpai di lokasi kejadian.