LELAKI berusia 50 tahun yang membunuh seorang pereka dalaman dengan tikaman sebanyak 20 kali didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Rabu. Kejadian ngeri itu berlaku di kediaman mangsa di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 16 September lalu. Lim Wah Siong yang merupakan seorang penganggur itu mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Menurut pertuduhan, Wah Siong didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara pada pukul 9 malam. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat. Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Pada 16 September, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia setelah ditikam 20 kali dalam kejadian di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara. Laporan mengenai kejadian itu diterima Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar pada pukul 1 pagi. Menurut Ja'afar, jiran mangsa membuat laporan tersebut selepas terdengar pergaduhan antara mangsa dan individu tidak dikenalinya kira-kira pukul 11 malam. Berdasarkan siasatan awal, mangsa maut akibat luka tikaman di rusuk kiri sebanyak lima kali, enam kesan tikaman di kepala serta sembilan tikaman di kedua-dua pergelangan tangan. Hasil semakan mendapati mangsa bekerja sebagai pereka hiasan dalaman, tinggal sendirian dan baru membeli kediaman itu tahun lalu. Ja'afar juga menyatakan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermula dengan pecah rumah sebelum mengakibatkan kematian. Ini adalah selepas melihat barangan milik mangsa seperti beg duit, telefon bimbit disyaki dicuri oleh suspek setelah membunuh mangsa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube