suria

“Saya nak ucapkan selamat tinggal” - Pelajar tingkatan 1 kongsi video akhir sebelum maut jatuh tingkat 8 bangunan sekolah

Seorang remaja perempuan jatuh dari tingkat 8 bangunan sekolah. -Foto China Press

SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah sekitar pukul 6 petang pada Selasa.

Mangsa merupakan pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kuen Cheng, Bukit Seputeh, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit daripada pihak sekolah.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan sedang dijalankan. Mayat mangsa dihantar ke unit forensik untuk proses bedah siasat," ujarnya.

Memetik laporan China Press, sebelum kejadian mangsa ada memuat naik video yang merutun jiwa ke platform media sosial, menzahirkan penghargaan kepada individu yang sentiasa bersama dengannya ketika susah dan senang.

"Saya sayang anda semua, kini saya hendak ucapkan selamat tinggal," ujar remaja itu dalam bahasa Inggeris menerusi satu video yang kini sudah dipadam daripada media sosial.

Lebih tragis apabila remaja itu digambarkan ceria serta sempat bergelak ketawa dalam perbualan bersama rakan-rakan sejurus sebelum insiden.

Abang kepada mangsa yang turut menuntut di sekolah sama dilaporkan menangis teresak-esak apabila menerima khabar duka mengenai pemergian adiknya itu.

Sementara itu, pihak sekolah Kuen Cheng dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian yang menimpa pelajar mereka.

Kaunseling daripada segi emosi dan psikologi turut diberikan kepada sesiapa yang terjejas susulan insiden itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain