suria

Tragis! Kemalangan kereta rempuh van libat 2 beranak

Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa kemalangan. -Foto JBPM

SEORANG wanita maut apabila kereta dinaiki merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan di Kilometer 18, Jalan Gedong-Simunjan, Sarawak pada petang Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan sekitar pukul 3 petang.

Susulan itu, enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikerah ke lokasi kejadian.

"Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga terlibat kemalangan dengan sebuah van jenis Nissan Vennete yang diparkir di tepi jalan.

"Seorang mangsa wanita tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan manakala seorang mangsa lelaki yang merupakan pemandu berjaya keluar sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Namun mangsa wanita dikenali sebagai Irim Gintang, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi nahas.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 37 tahun, dipercayai anak kepada mangsa wanita mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain