suria

Juruteknik terjatuh ketika kerja penyelenggaraan ditemukan maut

Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat. -Foto ihsan polis

PEKERJA yang dilaporkan terjatuh ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Gunung Mat Chincang, Langkawi, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa pada petang Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari, mayat Khairul Nizam Jaffar, 41, juruteknik penyelenggaraan Eagle's Nest SkyWalk ditemukan pada pukul 5.11 petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja terjatuh dari platform ketika selenggara kereta kabel Langkawi

"Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian lebih kurang 40 meter ke tebing gunung, dari besi penahan dek kaca yang berada di bawah dek kaca.

"Mangsa telah berjaya dibawa naik ke stesen tengah oleh pihak bomba pada pukul 5.11 petang.

"Pemeriksaan serta pengesahan kematian dibuat oleh pihak hospital dan kemudian dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada petang Khamis.

Menurut Shariman, waris dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, mStar melaporkan seorang pekerja dilaporkan terjatuh dari platform tingkat dua pada ketinggian dianggarkan antara 40 hingga 50 meter, ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain