suria

Sukar lelapkan mata... Bapa pelajar maut jatuh dari tingkat 8 bangunan sekolah buat luahan menyentuh hati

Seorang remaja perempuan maut jatuh dari tingkat 8 bangunan sekolah. -Foto China Press

BAPA kepada remaja perempuan berusia 13 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolahnya pada Selasa, menulis coretan bagi meluahkan isi hatinya atas tragedi yang menimpa anaknya itu.

Menggunakan gelaran 'baby' kepada anak perempuannya itu, lelaki tersebut berkata insiden tragis berkenaan benar-benar meninggalkan kesan mendalam sehingga dirinya tidak mampu untuk melelapkan mata selama dua hari.

"Saya tidak boleh berpura-pura lagi, saya mahu menangis semahu-mahunya.

"Saya tidak boleh menyimpannya lebih lama lagi. Pada zahirnya, saya kelihatan kuat, tetapi hati seorang bapa juga ada waktu-waktu yang rapuh," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, dia turut memuji kekuatan dan keberanian anak perempuannya itu dalam mengharungi detik sukar yang dihadapi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak ucapkan selamat tinggal” - Pelajar tingkatan 1 kongsi video akhir sebelum maut jatuh tingkat 8 bangunan sekolah

Hantaran lelaki itu dibanjiri ratusan komen daripada netizen yang rata-ratanya memberikan kata semangat buat dirinya dan keluarga supaya terus kuat.

mStar pada Rabu melaporkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolahnya sekitar pukul 6 petang, pada Selasa.

Mangsa merupakan pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kuen Cheng, Bukit Seputeh, Kuala Lumpur.

Memetik laporan China Press, sebelum kejadian mangsa ada memuat naik video yang meruntun jiwa ke platform media sosial, menzahirkan penghargaan kepada individu yang sentiasa bersama dengannya ketika susah dan senang.

"Saya sayang anda semua, kini saya hendak ucapkan selamat tinggal," ujar remaja itu dalam bahasa Inggeris menerusi satu video yang kini sudah dipadam dari media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit daripada pihak sekolah.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain