DUA suspek lelaki yang dikaitkan dengan pembunuhan pesara kewangan Felcra, Sabari Baharom, dipercayai pergi ke Batam, Indonesia selepas mengeluarkan wang simpanan mangsa berjumlah RM16,000. Menurut laporan Berita Harian yang memetik sumber, suspek berusia 38 tahun bersama anak saudaranya yang berusia 26 tahun dipercayai membelanjakan wang tersebut untuk berjudi di negara jiran itu, sebelum ditahan polis. Menurut sumber lagi, suspek juga didapati mengalami masalah ketagihan judi dan sering ke luar negara bagi melakukan kegiatan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Sabari sifatkan suspek hati kering, perbuatan sangat kejam "Suspek dipercayai menghabiskan wang yang disamunnya dari mangsa di sebuah kasino sebelum pulang ke tanah air," katanya. Difahamkan kedua-dua suspek ditahan polis di kawasan sempadan di selatan tanah air pada Jumaat lalu, iaitu kira-kira tiga minggu selepas Sabari dilaporkan hilang. mStar sebelum ini melaporkan misteri kehilangan Sabari sejak 4 September lalu, terjawab susulan penahanan dua suspek. Sabari, 62, dipercayai dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra, Kedah dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat. Susulan itu, operasi pencarian jasad Sabari digerakkan di lokasi berkenaan. Bagaimanapun Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh pada Khamis memaklumkan, operasi pencarian mayat Sabari ditamatkan petang Rabu, selepas polis gagal menemui sebarang petunjuk selepas tiga hari operasi dijalankan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube