suria

PTPTN komited terus perkasa budaya menabung, lancar BMS 2024

Norliza (kiri) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid merasmikan BMS 2024.

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited meneruskan usahanya untuk memperkasakan masyarakat dengan amalan menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Ini terbukti apabila Simpan SSPN yang memasuki usia dua dekad menunjukkan prestasi membanggakan dengan jumlah deposit simpanan mencecah RM18.85 bilion dan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta setakat 31 Ogos lalu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sepanjang tempoh dua dekad, pelbagai cabaran diharungi untuk memastikan Simpan SSPN kekal relevan dan berdaya saing di negara ini.

Katanya, selari dengan pencapaian jumlah deposit dan bilangan akaun diterima itu, PTPTN terus optimis melaksanakan program 'signature', Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024.

Jelas beliau, program bertemakan Fantasi itu dilaksanakan sempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun dengan tagline 'Jom Jadi Superhero Anak Anda'.

"Tema ini menjadi pilihan agar dapat mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi serta perkembangan kanak-kanak bagi meneroka ilmu, pengalaman baharu menyerlahkan potensi mereka.

"Ia juga sejajar dengan motto PTPTN 'Peluang Kejayaan Anda' iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mencapai kejayaan dengan usaha bersungguh-sungguh serta membuat persediaan kewangan yang baik," katanya pada pelancaran BMS SSPN 2024.

Norliza (dua, kanan) menyerahkan replika kad kepada pemenang utama Cabutan Siri WOW! Kasih.

Norliza (dua, kanan) menyerahkan replika kad kepada pemenang utama Cabutan Siri WOW! Kasih.

Penganjuran BMS 2024 memasuki tahun ketujuh sejak 2018 merupakan satu inisiatif pemerkasaan penabungan dipelopori PTPTN, yang bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi.

Pada Majlis Pelancaran BMS 2024, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024 dan tayangan lagu korporat PTPTN diberi nafas baharu, seiring perkembangan industri muzik.

Turut diraikan pada majlis itu adalah penyampaian hadiah pemenang Cabutan Siri WOW! Simpan SSPN 2024 (Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih) dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Action Song Simpan SSPN 2024.

Norliza berkata, perancangan kewangan tepat secara tidak langsung disifatkan dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman untuk meneruskan pendidikan.

"Justeru PTPTN menyasarkan BMS kali ini untuk menerima jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta dan saya yakin dapat dicapai dengan sokongan serta kerjasama pelbagai pihak di samping strategi promosi yang dilaksanakan.

"Pada masa sama, Simpan SSPN juga menawarkan keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan," ujarnya.

Juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2024 menerima replika.

Juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2024 menerima replika.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak.

Antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN e-Sport Challenge (Mobile Legends: Bang Bang), Simpan SSPN Got Talent, Jenga Family Competition Simpan SSPN, Baby Merangkak Race, Kuiz Kahoot! Simpan SSPN, penampilan khas Didi and Friends dan P&T serta selebriti jemputan.

Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara.

Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2024, layari www.ptptn.gov.my/BMS2024.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain